NAPLES – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez percaya anak-anak buahnya sudah mula menunjukkan taring sebenar selepas berjaya menyingkirkan kelab gergasi Itali, Napoli dengan kemenangan bergaya 4-2 pada aksi playoff kedua Liga Europa awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Diego Armando Maradona itu, skuad Barcelona meraih gol hasil jaringan Jordi Alba, Frankie De Jong, Gerard Pique dan Pierre Emerick-Aubameyang untuk melakar keputusan agregat 5-3 sekali gus menempah slot ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Kata Xavi, kemenangan tersebut sudah pasti meringankan tekanan ke atas barisan pemain selepas The Catalans dilabel antara pasukan pilihan untuk menjuarai trofi Liga Europa musim ini.
“Kemenangan ini sudah pasti kembali membuka mata ramai pihak khususnya pengkritik yang sebelum ini menghentam pasukan Barcelona. Namun, saya anggap masih terlalu awal untuk meletakkan kami sebagai pasukan pilihan bergelar juara.
“Justeru, saya mahu pasukan kekal fokus dan tidak mendabik dada terlalu awal kerana saingan baru sahaja bermula dan masih ada banyak pasukan berkualiti yang menanti kami di peringkat 16 terbaik nanti,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Sementara itu, Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti mengakui kesilapan mudah yang dilakukan oleh barisan pemain menyaksikan mereka terpaksa berputih mata dengan ketajaman jentera serangan pasukan pelawat.
“Secara jujur, ini adalah keputusan di luar jangkaan tetapi kami terpaksa akur berdasarkan kesilapan yang dilakukan oleh barisan pemain kami khususnya di posisi pertahanan. Namun, inilah hakikat yang perlu kami hadapi kerana mereka lebih dominan pada aksi kali ini,” katanya. – AGENSI