JELI – Rata-rata penduduk di Kampung Rahmat dan Kampung Ayer Lanas di sini tidak menyangka kampung mereka ditenggelami banjir yang berlaku pada penghujung bulan Februari.
Seorang penduduk di Kampung Rahmat, Norhayati Ismail 49, kebiasaannya banjir berlaku pada hujung tahun dan tidak pernah melanda kawasan itu pada Februari.
Norhayati yang juga ibu tunggal kepada tiga anak, berkata hujan lebat sejak Khamis lalu menyebabkan air mula naik ke kawasan rendah di kampungnya sehingga sebahagian penduduk perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas sejak petang semalam.
“Kami tidak bersedia dengan banjir kali ini kerana baru sahaja mengalaminya kira-kira dua bulan lalu.
“Rumah saya dinaiki air sejak petang semalam lagi. Keadaan itu menyebabkan saya bersama dua anak terus berpindah dan hanya sempat membawa dokumen peribadi termasuk pakaian sahaja ke PPS,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PPS SMK Ayer Lanas di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Ayer Lanas, Mohamad Rozali Ahmad, 64, berkata banjir kali ini berlaku di luar jangkaan dan air naik dengan cepat.
“Setiap tahun, saya akan berpindah ke PPS SMK Ayer Lanas bersama isteri Sharifah Ibrahim, 62, apabila kali banjir. Kali ini, saya tidak lena tidur apabila air sungai melimpah dan terus bertakung di hadapan rumah saya.
“Keadaan itu menyebabkan kami terus mengambil keputusan berpindah segera ke PPS bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Setakat hari ini, lima buah PPS telah dibuka di Jeli iaitu di SMK Ayer Lanas, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Legeh, PPS SK Bukit Jering, PPS SK Kuala Balah, PPS SK Gemang. – KOSMO! ONLINE