RANTAU PANJANG – Pekan Rantau Panjang yang terkenal sebagai pusat beli-belah zon bebas cukai lumpuh sepenuhnya hari ini apabila ditenggelami banjir akibat limpahan Sungai Golok sejak pagi tadi.
Kejadian itu berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak semalam sehingga air Sungai Golok melepasi paras bahaya iaitu 10.42 meter.
Tinjauan Kosmo! mendapati, laluan masuk ke pekan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.
Kampung di Rantau Panjang yang sudah ditenggelami banjir antaranya Kampung Tersang, Bagus, Kubang Jejulok dan Kampung Banggol Kulim.
Seorang penduduk Kampung Kubang Jejulok, Ibrahim Mamat, 65, mengakui peningkatan paras air kali ini dilihat luar biasa apabila banjir mula masuk ke dalam rumah pada pukul 6 pagi tadi:
“Saya tidak menyangka air naik dengan cepat. Mujur kami sekeluarga sempat berkemas awal. Jarang kejadian banjir berlaku bulan Februari, namun berbeza kali ini apabila banjir tetap melanda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, kerja-kerja memindahkan mangsa-mangsa banjir bermula pada pagi tadi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Ketika ini semua anggota berada dalam keadaan siap sedia untuk operasi menyelamat mangsa banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE