LONDON – Ugutan yang diberikan oleh Pengurus Arsenal, Mikel Arteta kepada pemain ketika di bilik persalinan sewaktu tempoh rehat berjaya mengubah nasib pasukan itu ketika mereka berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-1 di Emirates awal pagi semalam.
Menurut Arteta, beliau memberitahu para pemainnya bahawa kekalahan kepada Wolves akan menutup terus peluang mereka untuk memburu kedudukan Chelsea dan Manchester United serta berada dalam kelompok empat pasukan teratas.
Kata-kata berkenaan membangkitkan semangat para pemainnya yang berjaya mendapatkan dua gol pada penghujung perlawanan menerusi Nicolas Pepe dan jaringan sendiri penjaga gol Wolves, Jose Sa pada masa kecederaan selepas ketinggalan menerusi jaringan Hwang Hee-chan.
Ketika ditanya kemungkinan untuk memintas Chelsea dan United, Arteta menjelaskan peluang buat Arsenal sentiasa terbuka luas ketika pasukannya masih memiliki baki perlawanan dalam tangan.
“Ada kemungkinan kami mampu berada lebih atas daripada dua pasukan ini. Soal perlawanan berbaki bukan perkara penting dan kami perlu pastikan mampu raih mata maksimum dalam baki 14 perlawanan,” kata Arteta.
Arsenal yang baharu bermain 24 perlawanan meraih 45 mata, hanya dipisahkan satu mata berbanding United di tempat keempat ketika pasukan itu sudah pun beraksi 26 perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Wolvers hanya memerlukan 10 minit untuk mendahului permainan menerusi jaringan Hwang Hee-chan.
“Ia adalah kemenangan penting buat kami. Cara kami memenangi perlawanan menyerlahkan lagi aspek keyakinan, kebersamaan dan perpaduan yang begitu diperlukan.
“Pada rehat separuh masa, saya katakan jika kami mahu turut serta dengan pasukan besar lain di tempat ketiga atau pun keempat, kami perlu tewaskan Wolverhampton.
Inilah semangat yang diperlukan dan kami akhirnya berjaya melakukannya,” jelasnya. – AGENSI