fbpx

PRN Johor: Tiada perancangan debat terbuka di TV kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar Musa (berdiri tengah) mendengar penerangan ketika melawat Pusat Media Sempena PRN Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia belum bersedia mengadakan debat secara terbuka di saluran televisyen milik kerajaan melibatkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, pihaknya bagaimanapun akan mengkaji cadangan berkenaan sekiranya ia sesuai untuk dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurut beliau, hal itu kerana PRN Johor adalah isu peringkat negeri manakala saluran televisyen milik kerajaan adalah peringkat nasional.

“Ini pilihan raya negeri, manakala saluran televisyen adalah siaran nasional jadi lebih sesuai untuk kita kekalkan PRN Johor di peringkat negeri sahaja, jadi buat masa ini tiada perancangan untuk debat terbuka diadakan di kaca televisyen milik kerajaan.

“Walaupun saya tahu banyak negara luar ada menayangkan sesi debat terbuka, seperti Amerika Syarikat misalnya, namun perdebatan itu hanya melibatkan dua pihak sahaja.

“Di PRN Johor ini, ada tempat sehingga tujuh dan enam penjuru, jadi jika debat terbuka diadakan ia akan melibatkan siapa dengan siapa, kita tidak mahu pilih kasih.

“Pada masa akan datang, dalam PRU-15 mungkin boleh diadakan (debat terbuka di televisyen), tetapi untuk PRN Johor ini, tiada cadangan debat diadakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Media Sempena PRN Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu saluran media kerajaan sama ada televisyen mahupun radio khususnya akan membantu menyebarkan maklumat berkenaan calon-calon yang bertanding seberapa banyak mungkin.

“Kita mahu beri peluang kepada rakyat khususnya pengundi mereka untuk mengenali calon di kawasan masing-masing, tetapi ini bukan bermaksud memberi kebenaran untuk berkempen, sebaliknya hanya memperkenalkan calon.

“Saya percaya sebagai media milik kerajaan, kita perlu bersifat neutral dan hanya menyebarkan maklumat berkaitan dasar dan aktiviti-aktiviti kerajaan, bukan sebaliknya,” jelasnya sambil2 memberitahu inisiatif itu sudah dilaksanakan pada PRN Sarawak dan Melaka, tahun lalu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI