fbpx

Akauntan rugi RM64,100 diperdaya pelaburan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PDRM

TEMERLOH – Seorang akauntan wanita mengalami kerugian RM64,100 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula 21 Februari lalu selepas mangsa yang berumur 21 tahun membuka pautan iklan yang dihubungkan ke satu nombor WhatsApp ketika berada di rumahnya di Mentakab di sini.

“Suspek menerangkan mengenai pelaburan yang diberi nama JPM di laman web itu dan menghantar gambar mengenai keuntungan daripada modal yang dimasukkan sebelum menghantar satu pautan ke satu laman web.

“Mangsa diminta menekan pautan berkenaan serta berhubung dengan satu nombor lain melalui WhatsApp untuk tujuan keselamatan jika mahu membuat transaksi dan suspek menyatakan akan memberikan keuntungan pada hari sama jika mangsa cepat membuat transaksi,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa mengikut arahan yang diberikan oleh suspek dan membuat tujuh transaksi berjumlah RM64,100 ke tiga akaun bank berbeza dalam tempoh 22 Februari dan 23 Februari lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya telah menghantar WhatsApp kepada suspek supaya memulangkan semula wangnya, tetapi suspek memberitahu mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM30,000 bagi proses mendapatkan semula semua wang mangsa.

“Selepas itu mangsa mendapati akaunnya di laman web pelaburan berkenaan disekat sebelum mangsa datang ke balai untuk membuat laporan polis kerana berasa ditipu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI