SEJAK kerajaan memperkenalkan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bermula awal Februari lalu, pelbagai reaksi diterima dalam kalangan ibu bapa.
Walaupun ibu bapa tidak dipaksa menyertai program itu, namun pilihan yang diberikan itu membuatkan segelintir ibu bapa berada dalam keadaan dilema.
Jika tidak divaksin, akan terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19. Kalau divaksin pula, takut memberi kesan sampingan.
Lebih membimbangkan apabila sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah usia 18 tahun dilaporkan mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19 sehingga Disember lalu.
Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Sofiah, 33, mengakui terpaksa ‘merelakan’ anaknya yang berusia 10 tahun menerima suntikan vaksin PfizerBioNTech kerana bimbang jika anaknya dijangkiti Covid-19.
Kata Sofiah, dia perlu yakin kerana lebih risau jika anaknya mendapat masalah yang lebih teruk jika dijangkiti Covid-19 tanpa perlindungan vaksin.
“Saya risau, tetapi saya tiada pilihan daripada membiarkan anak saya tidak dilindungi dengan vaksin Covid-19. Umpama saya pentingkan diri sendiri,” katanya.
Seorang lagi ibu, Siti Hajar Maryam, 34, pula berpendapat, kanak-kanak seawal usia lima tahun dianggap masih terlalu ‘mentah’ untuk diberikan suntikan vaksin Covid-19.
Bagaimanapun katanya, situasi yang berlaku hari ini menuntut ibu bapa untuk memberi perlindungan pada anak mereka sekali gus memikirkan tentang perkara buruk yang bakal berlaku pada masa akan datang.
“Saya memandang perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Bagaimana jika masa akan datang hanya anak saya sahaja yang belum divaksin? Anak saya mungkin akan ‘disisihkan’ atau berdepan dengan masalah kerana tidak divaksin,” ujarnya.
Pendapat berbeza disuarakan oleh seorang ibu dikenali sebagai Ekin, 33, apabila tekad untuk tidak memberikan suntikan vaksin kepada anak-anaknya kerana bimbang masalah lain akan timbul di kemudian hari.
Kata Ekin, walaupun dos suntikan vaksin dikurangkan, namun bahan yang digunakan tetap sama. Malah, sistem pertahanan kanak-kanak juga tidak sekuat orang dewasa.
“Selagi ada cara lain, saya tidak akan benarkan anak-anak saya divaksin. Saya akan pastikan anak-anak menjaga kebersihan, jaga penjarakan fizikal dan kurangkan aktiviti di luar rumah. Saya tidak mahu ambil risiko,” katanya.
Walaupun kerajaan tidak mewajibkan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak, namun pengamal perubatan menyarankan ibu bapa supaya peka dengan keadaan semasa untuk memberikan perlindungan untuk anak-anak mereka.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan, Keluarga, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Siti Nurbaya Abdul Aziz berkata, walaupun kerajaan berkata suntikan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak adalah tidak wajib, namun sebagai pengamal perubatan, beliau mengakui vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah wajib.
“Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun adalah golongan yang sepatutnya diberi keutamaan untuk disuntik vaksin Covid-19 kerana mereka juga berpotensi untuk mendapat jangkitan yang teruk jika dijangkiti.
“Jangkitan Covid-19 hari ini sangat mudah berjangkit, lebih-lebih lagi dengan kehadiran varian Omicron,” katanya.