MELAKA – Gempa bumi pada kekuatan 6.2 Ritcher yang melanda Sumatera Barat Indonesia pagi tadi turut dirasai di beberapa kawasan di negeri ini.
Gegaran pada waktu tempatan pukul 9.39 pagi itu turut dirasai di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Seri Negeri, Hang Tuah Mall, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bandar.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli mengesahkan menerima laporan mengenai gegaran itu di kawasan terlibat.
“Kita ada menerima panggilan mengenai gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di termasuk di Ayer Keroh dan Jasin.
“Pasukan kecemasan telah bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan keselamatan dan kebanyakan gegaran di rasai di bangunan bertingkat,” katanya.
Sementara Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, semua warga universiti bertindak meninggalkan bangunan dan turun ke kawasan lapang selepas merasai gegaran kuat.
“Kami di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM merasai gegaran kuat antara empat hingga lima kali.
“kami terus turun melalui tangga bangunan dan berkumpul diruang lapang dan memaklumkan kepada pihak berwajib untuk memastikan keselamatan semua warga universiti,” katanya.
Pagi tadi stesen penyiaran CNN Indonesia melaporkan satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggoncang wilayah Sumatera Barat.
Menurut Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa yang berlaku sekitar pukul 8.39 pagi (waktu tempatan) itu terletak 17 kilometer (km) di Timur Laut Pasaman Barat, 64 km di barat laut Bukit Tinggi.
“Kedalaman gempa adalah 10 km,” demikian menurut keterangan BMKG. – KOSMO! ONLINE.