HULU TERENGGANU – Upacara pernikahan satu pasangan tertangguh hampir sejam selepas pengantin perempuan terperangkap di dalam rumahnya yang dinaiki banjir di Kampung Lubuk Periuk di sini hari ini.
Siti Rau’ah Fatihah Mohamed, 21, akhirnya berjaya keluar dari rumah mereka dan tiba ke Masjid Felda Mengkawang di sini pada pukul 12 tengah hari ini dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik jirannya.
Pembantu kedai runcit itu berkata, paras air mula naik memasuki rumahnya ketika dia sedang bersiap memakai baju pengantin pada pukul 9 pagi.
“Saya hampir menangis apabila dimaklumkan hujan lebat sejak semalam menyebabkan laluan utama di kampung ini ditenggelami banjir hingga menyebabkannya tidak dapat dilalui kenderaan ringan.
“Kami pada mulanya buntu sedangkan upacara pernikahan dijadual pukul 11 pagi. Alhamdulillah, saat akhir, jiran menawarkan membawa saya yang ditemani ayah, Mohamed Mustaffa, 60, meredah banjir dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Dia dan suaminya, Muhammad Firdaus Zamri, 22, ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Lubuk Periuk di sini hari ini.
Siti Rau’ah Fatihah berkata, dia lega dan bersyukur sebaik tiba di pekarangan masjid terbabit yang terletak kira-kira lapan kilometer dari rumahnya.
Dia yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik berkata, kadi dan pengantin lelaki, Muhammad Firdaus sudah setia menunggu sebelum upacara akad nikah terus dilangsungkan.
“Alhamdulillah, kami sah sebagai suami isteri dengan dua kali lafaz. Saya dan suami turut sama bersama berpindah ke PPS Kampung Lubuk Periuk.
“Saya masih berharap paras banjir cepat surut agar kenduri perkahwinan kami dapat dilangsungkan esok seperti dirancang,” katanya. – KOSMO! ONLINE