DALAM setiap perniagaan dan perusahaan yang dibangunkan, pasti ada sahaja jatuh bangun yang perlu dihadapi.
Tidak kiralah perniagaan tersebut sudah berdekad bertapak lamanya atau baru setahun jagung memulakan operasi, halangan dan cabaran tetap kunjung tiba.
Begitu jugalah yang terpaksa dilalui dan dialami sendiri wanita cekal kelahiran Selangor ini bagi memastikan perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu dapat terus bertahan.
Mesra disapa sebagai Akmar dalam kalangan rakan-rakan sekerja dan pekerjanya, siapa pernah sangka perniagaan minyak wangi yang diusahakannya itu pernah hampir menoktahkan operasinya.
Kedatangan pandemik maut tidak diundang bernama Covid-19 benar-benar meninggalkan impak dan tamparan hebat buat Akmar selaku pengasas bagi satu jenama yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
“Kalau ikutkan, saya mula berniaga dan berani mencipta jenama minyak wangi dengan jenama sendiri selepas hampir 10 tahun menjual pelbagai produk wangian.
“Jadi berbekalkan sedikit pengalaman dan modal simpanan yang saya ada, saya tekad dan beranikan diri untuk mengasaskan perniagaan di bawah label sendiri bermula 2019,” katanya kepada Aura.
Namun benarlah kata orang, disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari. Itulah juga yang terpaksa dihadapi Akmar atau nama sebenarnya Raja Zaharatul Akmar Raja Zulkhalnain.
“Selepas setahun jenama dan produk saya dikenali dan mula mencuri perhatian pengguna, datang pula ujian besar iaitu wabak Covid-19.
“Jadi bermula dari situ, perniagaan yang saya jalankan tidak sampai setahun jagung itu mula merosot disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak tersebut.
“Ini kerana, sepanjang PKP dilaksanakan, kuasa membeli para pelanggan amatlah terhad dan tiada cara lain selain terpaksa menutup kedai selama hampir dua tahun lamanya.
“Perkara tersebut tidak pernah saya fikir dan jangkakan. Tapi saya tahu, apa yang berlaku pasti ada hikmah selain benar-benar menguji keupayaan saya sebagai usahawan,” katanya.
Ditanya mengenai siapakah sumber inspirasi yang membuatkan dirinya terus kuat dan kebal mendepani cabaran hebat, Akmar memberitahu tidak lain tidak bukan kedua-dua orang tuanya termasuklah bapanya yang sudah meninggal dunia.
“Sumber inspirasi saya untuk terus tabah, sabar dan kekal berada dalam arena perniagaan ialah emak saya dan Allahyarham ayah.
“Saya kagum melihat kecekalan, kegigihan dan kesungguhan mereka membesarkan anak-anak dengan berniaga nasi ayam selama 43 tahun lamanya.
“Jadi dari situ, saya belajar banyak perkara dan sedikit sebanyak memperolehi kekuatan daripada mereka berdua. Bila saya jatuh dan diuji, cepat-cepat saya ingat mereka berdua dan terus bangkit,” tuturnya.
Berkongsi sedikit mengenai perancangan perniagaan yang disifatkan peluang kedua buatnya, Akmar bersyukur kerana perusahaannya kini kembali stabil seperti awal-awal diperkenalkan.
Kongsi Akmar, hingga kini dia berjaya melahirkan lebih daripada 100 orang terdiri daripada ejen, stokis dan pengedar aktif di bawah kendaliannya.
“Saya optimis untuk menambah dan membuka peluang perniagaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dan tidak malu untuk menambah pendapatan.
“Buat masa ini, selain memfokuskan wangian badan, kereta dan rumah, syarikat juga merancang untuk memperluaskan produk berasaskan wangian cucian pakaian, kecantikan untuk wanita dan lelaki dan menambah beberapa outlet lain selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE