PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad mendedahkan dia dan suaminya, Raja Syahiran dijangkiti Covid-19 sejak beberapa hari lepas.
Menerusi perkongsian dalam Instagramnya, Uyaina, 30, memaklumkan suaminya menjalani kuarantin di rumah, namun dia terpaksa ditahan di wad akibat mengalami tekanan darah rendah dan badan lemah.
Menceritakan pengalamannya dijangkiti wabak tersebut, Uyaina mendedahkan, simptom yang dialaminya sangat teruk sehingga menyebabkan seluruh badannya berasa sakit.
“Lain orang mungkin rasa berbeza apabila kena Covid-19. Ada orang mungkin simptom sederhana.
“Tapi badan saya rasa sakit sangat-sangat terutama hari kedua hingga ketiga dijangkiti. Nak jalan pergi ke tandas pun merangkak. Badan rasa macam kena pukul.
“Tekak rasa macam kena lenyek. Susah nak bernafas. Demam menggigil dan paling bahaya sebab kacau organ dalaman,” tulisnya.
Sedar Covid-19 bukan mainan, Uyaina yang berkongsi tiga keping gambarnya bersama Raja Syahiran meluahkan peringatan kepada semua orang di luar sana agar mengutamakan kesihatan.
“Ini sakit dah cucuk vaksin. Bayangkan orang yang tak ambil vaksin langsung? Antivaksin? Tak tahu macam mana teruknya badan mereka.
“Saya kongsi gambar ini untuk ingatkan diri sendiri tentang apa rasanya badan sihat. Untuk mengingatkan kami yang nikmat paling besar Allah bagi adalah kesihatan. Kita kena jaga baik-baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, pengacara program Wanita Hari Ini itu turut menitipkan pesan kepada semua agar menjaga kesihatan dan mendoakan agar tidak dijangkiti Covid-19 terutama orang tua dan kanak-kanak.
Peningkatan kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini cukup membimbangkan sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan selebriti turut menjadi mangsa.
Antaranya Ariff Bahran, Afdlin Shauki, Zahirah Macwilson dan suaminya Aiman Redza, Elvina Mohamad, Achey dan Nourul Depp. – KOSMO! ONLINE