fbpx

Petugas, orang awam kosongkan bangunan mahkamah susulan gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKITANGAN dan petugas di Mahkamah Shah Alam, Selangor serta orang awam diarahkan untuk mengosongkan bangunan mahkamah sehingga pemeriksaan bangunan selesai dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) susulan kejadian gempa bumi pagi ini.

SHAH ALAM – Ruang mahkamah dan bilik orang kena tahan (OKT) Mahkamah Shah Alam di sini hari ini dikosongkan sementara susulan kejadian gempa bumi yang berlaku pagi tadi.

Wartawan Kosmo! yang sedang mengikuti pertuduhan kes rasuah di bangunan Annex merasai gegaran diikuti kerusi bergoyang dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga minit.

Orang awam serta petugas yang turut berada dalam galeri mahkamah saling berpandangan sesama sendiri namun kes tetap terus dijalankan selepas mendapati ia berhenti beberapa minit kemudian.

Seorang kakitangan mahkamah, Noorliza Mohd. Noor, 47, yang berada di tingkat enam pada mulanya menyangka ada rakan-rakan yang bergurau dengan menggoyangkan meja.

Bagaimanapun, katanya, dia kemudiannya melakukan carian dalam media sosial selepas tiga lagi rakan sepejabat turut merasakan pening.

“Memang terkejut merasai gegaran gempa bumi dan terus turun ke kawasan lapan sebaik mendengar arahan bagi mengosongkan bangunan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Seorang pekerja pembersihan, V. Kokilavani, 50, pula memberitahu semasa kejadian dia sedang bersarapan dengan melihat meja makan dalam keadaan tidak seimbang..

“Apabila orang lain pun kata rasa bergoyang, saya terus berhenti makan dan turun ke bawah.

“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku sejak lapan tahun saya bekerja di sini,” ujarnya.

Sementara itu, petugas mahkamah dilihat memberikan penerangan supaya orang awam meninggalkan pekarangan mahkamah manakala kakitangan diminta berkumpul dan hanya akan dibenarkan masuk selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai melakukan pemeriksaan bangunan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI