PRAGUE, Republik Czech – Republik Czech, Latvia dan Lithuania kelmarin mengumumkan bahawa ketiga-tiga negara berkenaan berhenti mengeluarkan visa kepada rakyat Rusia berikutan penaklukan Moscow ke atas Ukraine.
“Kami membekukan pemprosesan permohonan visa daripada warganegara Rusia di pejabat-pejabat konsulat kami melainkan bagi kes kemanusiaan,” kata Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala kepada pemberita.
Beliau juga mengumumkan penutupan konsulat Czech di bandar raya Rusia iaitu Saint Petersburg dan Yekaterinburg, manakala konsulat Rusia di bandar Karlovy Vary dan Brno, Republik Czech pula tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi.
Menurut Kementerian Luar Lithuania dalam satu kenyataan, pihaknya turut membekukan visa kepada warga Rusia sebagai solidariti dengan Ukraine dan rakyatnya yang berdepan kekerasan tentera Rusia.
Sebuah lagi negara rantau Baltic, Latvia juga mengambil keputusan sama.
“Saya memutuskan untuk memanggil pulang duta Latvia dari Rusia dan berhenti mengeluarkan visa Latvia kepada rakyat Rusia melainkan melibatkan kes penting kemanusiaan,” kata Menteri Luar Latvia, Edgars Rinkevics di laman Twitter.
Riga turut mengumumkan larangan ke atas tiga saluran televisyen Rusia selama tiga hingga lima tahun.
“Kami membuat keputusan tersebut kerana saluran-saluran televisyen ini mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara Latvia,” kata ketua pihak berkuasa pengawasan penyiaran Latvia, Ivars Abolins kepada agensi berita AFP dan menganggap ketiga-tiga saluran televisyen itu sebagai ‘alat propaganda’.
Majlis media nasional Poland turut memutuskan untuk mengharamkan beberapa saluran Rusia termasuk Russia Today, demikian menurut ketua teknologi digital Poland, Janusz Cieszynski. – AFP