PARIS – Bintang Paris Saint-Germain, Neymar dilaporkan menjadi pemain yang paling kerap dikasari berbanding para pemain lain yang beraksi dalam liga-liga utama di Eropah.
Kajian yang dibuat oleh BeSoccer Pro yang merupakan sebuah syarikat yang memiliki kepakaran dalam statistik bola sepak mendapati, kapten Brazil itu telah menjadi mangsa kekasaran pemain lain sebanyak 1,040 kali sejak 2016.
Rakan sepasukan Neymar, Lionel Messi yang juga ketua pasukan Argentina berada pada kedudukan kedua apabila berdepan 839 kekasaran pemain lawan sepanjang tempoh berkenaan.
Sementara itu, tempat ketiga paling kerap menjadi mangsa kekasaran adalah dikongsi oleh dua pemain iaitu penggempur Torino, Andrea Belotti dan pemain tengah Manchester City, Jack Grealish dengan 747 kali.
Kajian berkenaan dibuat melibatkan lima liga utama iaitu Liga Perdana Inggeris, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 dengan turut mengambil kira penglibatan para pemain bersama pasukan kelab dan negara masing-masing.
Hasil kajian berkenaan mendapat reaksi daripada Neymar sendiri yang menulis di dalam laman rasminya.
“Ia bukan sekadar tekaan. Neymar adalah pemain yang paling kerap dikasari dalam liga utama di Eropah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh BeSoccer Pro. 1,040 sejak 2016, ia banyak bukan?” katanya.
Bekas pemain Santos dan Barcelona itu sebelum ini berdepan kritikan hebat ekoran sikapnya di padang sehingga ramai menuduhnya suka ‘berdrama’.
Neymar sebelum ini berdepan kecederaan buku lali akibat diterjah pemain lawan menyebabkan dia terpaksa berehat dua bulan sebelum kembali menyertai PSG pada 15 Februari lalu. – AGENSI