fbpx

Muka Melayu tapi cakap pelat, tak nak begitu – Noor Nabila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEBAT Jayden kini berusia empat tahun dan dididik bertutur dengan bahasa kebangsaan sepanjang masa oleh ibunya, Noor Nabila.

PETALING JAYA – Usahawan yang juga kakak kepada selebriti popular, Neelofa iaitu Noor Nabila Mohd. Noor berasa sedih apabila ramai generasi muda sekarang tidak fasih berbahasa Melayu dengan baik.

Sehubungan itu, bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku kepada putera kesayangannya, Jebat Jayden, Noor Nabila menerapkan penguasaan bahasa Melayu sejak kecil.

Katanya, adalah menjadi satu perkara yang pelik sekiranya seseorang itu tidak tahu bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Muka Melayu tapi cakap pelat, tak naklah begitu. Bahasa Melayu kan bahasa kita.

“Tak pandai cakap Melayu, pelik sebenarnya. Perlu tahu cakap Melayu dan itu cara saya besarkan anak. Apabila saya jumpa ramai anak-anak tak boleh berbahasa Melayu, saya berasa sedih.

“Untuk Jebat juga, perlu tahu cakap (loghat) Kelantan dan Pulau Pinang. Pulau Pinang ikut bapa dia (Sharnaaz).

“Nanti dia dah masuk sekolah, dia akan cakap bahasa Inggeris. Sharnaaz pun pilih cara begini,” kata Noor Nabila, 38.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya dan itulah yang dipraktikkan Noor Nabila demi memastikan Jebat Jayden mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

“Kita memang cakap Melayu di rumah. Adik-beradik di rumah pun cakap Melayu. Mak cik dia cakap bahasa Inggeris tapi kebanyakan masa, Jebat memang cakap bahasa Melayu.

“Faliq (adik bongsu) masa kecil cakap Melayu tetapi sekarang apabila dah masuk sekolah, dia secara automatik cakap bahasa Inggeris sampai tak tahu cakap Melayu langsung.

“Jadi, saya tak nak (Jebat) jadi begitu. Saya tak nak dia mahir berbahasa Inggeris tetapi tak tahu berbahasa Melayu. Tak boleh,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ditanya tentang perihal menambah ahli keluarga bersama suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, Noor Nabila tidak menolak andai dikurniakan rezeki.

“Rancangan nak tambah (anak) itu ada. Tidak menolak rezeki dan sedang diusahakan.

“Jebat tiadalah minta adik, dia tak pandai lagi. Kadang-kadang tengok ‘baby’, dia macam ‘apa ini benda ini, kecil’,” kata Pengarah Urusan NH Prima International Sdn. Bhd. itu.

Noor Nabila mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada Mac 2021.

Terdahulu, bekas isteri pelakon Sharnaaz Ahmad itu memiliki seorang cahaya mata, Jebat Jayden yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI