JANGKITAN kes positif Covid-19 harian menghampiri 30,000 sejak beberapa minggu lalu dan dijangka terus meningkat menyebabkan masyarakat di negara ini semakin gusar dengan perkembangan itu.
Lebih membimbangkan apabila jumlah jangkitan terhadap kanak-kanak tinggi. Biarpun negara telah menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi mereka yang berumur dari lima hingga 12 tahun sejak awal Februari lalu, namun bilangan penerima masih lagi rendah.
Keadaan tersebut berlaku disebabkan kebimbangan ibu bapa dan ahli keluarga sekiranya si kecil menerima tindak balas yang teruk susulan suntikan tersebut.
Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Faisal Mohd. Fadzli, faktor utama adalah kebimbangan tentang kesan sampingan vaksin itu sendiri, ditambah pengalaman ibu bapa itu sendiri selepas pengambilan vaksin, terutamanya dos penggalak.
Rata-rata mengatakan kesan sampingan yang dialami sangat teruk dan tidak mahu ia terjadi kepada anak-anak mereka.
“Kebanyakan ibu bapa daripada kalangan kaum Melayu terutamanya agak skeptikal untuk membenarkan anak-anak mereka diberi vaksin. Begitupun, keadaan ini sangat membimbangkan kerana komplikasi dari jangkitan Covid-19 lebih berbahaya berbanding kesan sampingan ekoran menerima suntikan vaksin.
“Menerusi hasil ujian klinikal vaksin juga mendapati, tiada kematian yang dilaporkan, tetapi ada kes kematian daripada komplikasi jangkitan Covid itu sendiri.
“Buat masa ini, hanya vaksin Comirnaty daripada Pfizer sahaja yang diluluskan kepada kanak-kanak kerana hasil ujian klinikal menunjukkan hanya ia berkesan dan selamat,” katanya.
Terangnya, secara amnya kesan sampingan vaksin boleh dibahagikan kepada ringan, sederhana dan teruk.
Bagaimanapun, majoriti yang mengambilnya hanya mengalami kesan ringan atau tiada langsung dan hanya segelintir sahaja mengalami kesan yang teruk.
“Contoh kesan sampingan yang ringan dan sederhana ialah demam, sakit dan bengkak di tempat suntikan, penat, sakit kepala, otot dan sendi atau terasa loya.
“Sementara itu, kesan sampingan yang teruk adalah seperti sakit dada, kesukaran bernafas, denyutan jantung sangat cepat, ruam teruk seluruh badan atau rasa pening dan sangat lemah badan.
“Biasanya, kesan-kesan sampingan ringan dan sederhana ini bersifat sementara serta boleh sembuh dalam masa beberapa hari tanpa memerlukan rawatan di hospital,” terangnya.
Radang otot jantung (myocarditis) dan radang selaput jantung (pericarditis) pula adalah komplikasi bagi kesan sampingan yang teruk.
Bagaimanapun, ia jarang berlaku dan hasil daripada ujian klinikal menunjukkan, kanak-kanak mengalami komplikasi tersebut majoritinya pulih sepenuhnya dengan mendapatkan rehat yang mencukupi.
Tambahnya, sebaik kanak-kanak menerima suntikan vaksin, mereka perlu dipantau selama seminggu yang mana ibu bapa perlu perhatikan simptom atau tanda-tanda seperti yang dinyatakan sebelum ini.
“Anak-anak secara semula jadinya memang aktif. Biarkan anak aktif seperti biasa, tetapi aktiviti lasak tidak perlu dibuat selama seminggu selepas menerima vaksin.
“Aktiviti-aktiviti tersebut seperti berbasikal, berenang, bersukan atau berlari. Jika terdapat tanda-tanda kesan sampingan, ibu bapa perlu melaporkan di aplikasi MySejahtera.
“Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan terutamanya jika gejala kesan sampingan berpanjangan atau semakin teruk,” tambahnya.
Mengambil contoh beberapa negara luar yang menyambut baik vaksin terhadap kanak-kanak, menurut Dr. Faisal lagi, sejak November 2021, lebih 100 buah negara di seluruh dunia telah memulakan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak.
Antaranya, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Perancis, Itali dan juga Singapura yang mana ia mendapat sambutan yang baik daripada rakyat mereka.
Kata Dr. Faisal, kebanyakan data mengenai keselamatan vaksin ini datang daripada kumpulan ini.
Di AS sahaja ujarnya, sebanyak 8.7 juta dos Pfizer sudah diberikan kepada kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.
“Pada pendapat saya, dengan memberi maklumat yang betul dan disandarkan dengan bukti klinikal yang kukuh, ia mampu meyakinkan masyarakat tahap keselamatan vaksin.
“Maklumat-maklumat daripada media sosial perlu dipantau kerana kesahihan maklumat dari sumber ini selalunya meragukan.
“Mungkin boleh diadakan dialog dengan golongan terbabit untuk memahami apa yang meragukan mereka terhadap keselamatan vaksin,” jelasnya.