ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis peniaga ubat atau makanan tambahan yang kononnya mampu merawat penyakit kanser.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan ubat tambahan itu tidak berkesan untuk merawat penyakit kanser seperti yang dijanjikan penjual.
“Kebanyakan ubat atau suplemen yang didakwa boleh menyembuhkan kanser hanya promosi untuk melariskan jualan produk mereka sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pesakit seharusnya mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor pakar mengenai penyakit kanser yang dihidapi mereka.
“Pengguna boleh membuat aduan terus kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan isu ini di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan segelintir peniaga ubat tambahan menjadi tamak apabila semakin ligat menjadikan pesakit kanser sebagai lubuk mengaut untung menerusi promosi dan taktik kononnya barang yang dijual mampu menyembuhkan penyakit berbahaya itu.
Terdapat juga peniaga yang bertindak licik dengan menyertakan testimoni individu yang didakwa telah sembuh daripada kanser hasil mengambil produk kesihatan itu.
Antara produk yang berlambak dijual secara online ketika ini termasuk dalam bentuk jus atau serbuk minuman, tablet ekstrak buah-buahan dan minyak.
Selain itu, apabila terdapat juga segelintir pesakit yang terdedah kepada penipuan membabitkan rawatan oleh pengamal perubatan alternatif dan bomoh temberang.