PETALING JAYA – Krisis antara Rusia dan Ukraine boleh menjejaskan pemulihan ekonomi negara, meskipun ada segelintir pihak berpandangan pertikaian tersebut yang membawa kepada peningkatan harga minyak global mampu memanfaatkan Malaysia sebagai negara pengeluar.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi perang yang melibatkan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Rusia adalah perkara yang sangat membimbangkan dan tidak membawa manfaat kepada semua.
Beliau ketika dihubungi semalam bagaimanapun mengakui buat masa ini, kesan utama krisis di Ukraine adalah peningkatan harga komoditi termasuk minyak mentah, minyak kelapa sawit dan gas asli cecair (LNG) yang merupakan antara eksport utama negara.
“Namun pada masa sama, keperluan bahan api atau petroleum tempatan adalah diimport, bererti kos subsidi minyak bakal meningkat.
“Selain itu, perdagangan antarabangsa merupakan komponen utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara Asia termasuk Malaysia dan krisis ini boleh memberi kesan kepada kelancaran perdagangan antarabangsa disebabkan saling hubung kait yang tinggi antara satu sama lain,” katanya.
Media semalam melaporkan harga minyak Brent melepasi paras AS$100 (RM419.80) setong buat kali pertama sejak tahun 2014.
Ini adalah susulan krisis Rusia-Ukraine yang mencetuskan kebimbangan gangguan bekalan.
Rusia merupakan pembekal tenaga utama global, dengan Eropah mengambil kira-kira suku bekalan minyak dan satu per tiga gas daripada negara terbabit.
Mohd. Afzanizam menambah, aliran keluar masuk modal di dalam pasaran ekuiti dan bon juga mungkin terjejas akibat krisis berkenaan, menyebabkan kemeruapan yang tinggi kepada pasaran mata wang, saham dan bon sekali gus boleh memberi kesan kepada pelabur.