ALOR SETAR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan supaya segera menangani isu kontraktor dewan makan sekolah berasrama kerana didakwa semakin tenat.
Masalah itu ekoran pelbagai isu yang terpaksa ditanggung penyedia makanan terbabit.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, pihak tersebut perlu mengambil langkah membuat penilaian ke atas kerugian yang terpaksa ditanggung oleh semua sektor makanan bermasak sekolah berasrama di seluruh negara akibat arahan terkini KPM.
“Kontraktor dewan makan sekolah berasrama contohnya berdepan kekangan khususnya selepas KPM memutuskan pelajar bukan dari kelas peperiksaan tidak dibenarkan kembali ke asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina, manakala murid di sekolah berasrama penuh pula hanya sebahagian kecil saja dibenarkan masuk ke asrama.
“Langkah ini juga menjejaskan perniagaan mereka. Pengumuman secara tiba-tiba ini menyebabkan kerugian bagi yang membeli stok bahan mentah lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kata kenyataan itu, pengurangan bilangan pelajar amat memberi kesan terutama pada tuntutan anggaran bayaran yang terpaksa dikurangkan oleh pengusaha berkenaan.
“Pada masa sama pihak sekolah mendesak supaya mengekalkan bilangan pekerja seperti dinyatakan dalam kontrak dan ada kontraktor didenda oleh pihak sekolah atas alasan pelanggaran kontrak.
“Pihak sekolah kena faham kesukaran yang berlaku akibat pandemik ini. Arahan KPM itu beri kesan domino apabila ramai majikan terpaksa berhentikan pekerja kerana tidak mampu tanggung kos,” ujarnya.
Selain itu katanya, pihak tersebut juga berdepan kesukaran mendapat dan mengekalkan pekerja kerana ramai yang berhenti apabila hilang keyakinan terhadap sektor itu.
“Kekerapan arahan penutupan sekolah, selain majikan tidak mampu untuk tanggung gaji pekerja memudarkan keinginan untuk para pekerja kantin daripada terus bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, kos pembayaran gaji pekerja ketika tutup sekolah wajar ditanggung oleh KPM.