LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pemainnya, Sadio Mane kini berada pada prestasi terbaik ketika dua gol yang dihasilkannya membantu Liverpool membelasah Leeds United 6-0 di Anfield awal pagi semalam.
Walaupun menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil daripada kerja keras berpasukan, Klopp menghamburkan pujian kepada Mane sekaligus kemenangan ini meletakkan The Reds di landasan tepat untuk terus memberi tekanan kepada Manchester City di puncak liga.
“Ia berjalan dengan lancar selepas kerja keras yang kami lakukan. Ia juga perlawanan yang sukar untuk menentang pasukan yang bertahan seperti Leeds hingga meletakkan kamu dalam keadaan tertekan.
“Kami kekal fokus sebelum mengharungi malam yang cukup indah. Ini juga mungkin salah satu prestasi terbaik yang dipamerkan oleh Sadio Mane. Prestasinya cukup luar biasa,” kata Klopp.
Selain Mane, Mohamed Salah juga turut meledak dua gol, manakala dua lagi jaringan Liverpool dihasilkan oleh tonggak pertahanan tengah, Joel Matip dan Virgil Van Dijk.
Pengurus dari Jerman itu juga turut memuji ketenangan Salah ketika menyempurnakan sepakan penalti dan menganggap pemain Mesir itu sebagai individu yang tepat untuk mengambil tanggungjawab berkenaan.
“Mungkin sesetengah orang merasakan penalti tidak boleh diambil kira, namun kami mahu hanya individu yang tepat mengambil tanggungjawab itu. Inilah yang Mo sedang lakukan,” jelasnya. – AGENSI