fbpx

Keputusan rayuan pendakwaan kes bekas Timbalan Pengarah DBKL, Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Sabudin (belakang) yang dirakam tahun lalu selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Februari ini bagi keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd. Salleh daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Wan Shaharuddin pada prosiding itu nanti, keputusan rayuan akan disampaikan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

“Pihak pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah mengenai rayuan itu pada 28 Januari lepas,” katanya.

Pada 13 April tahun lalu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 8 April tahun lalu, yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan rasuah di akhir kes pendakwaan.

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan, Sabudin yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn. Bhd. Chia Chee Seng.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 dan 19 Ogos 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah melepas dan membebaskan Sabudin selepas mendengar keterangan semua saksi dan meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta meneliti autoriti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI