fbpx

KL City tenang berdepan JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOJAN (kanan) dan Safee ketika bercakap pada sidang akhbar menjelang perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri petang tadi. - RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak akui tenang menjelang perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Hodak memberitahu, tekanan itu tentunya dirasai oleh pasukan tuan rumah untuk memastikan Piala Sumbangsih itu terus berada dalam genggaman mereka.

Menurutnya, City Boys akan mengambil serius pertemuan itu, namun tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan pertemuan aksi pertama Liga Super menentang Selangor FC jauh lebih penting kerana mempertaruhkan tiga mata pertama buat pasukan.

“Aksi menentang JDT adalah perlawanan yang sangat mudah buat saya, ini kerana saya tidak terlalu memberi tekanan buat pemain setelah tiada yang meletakkan harapan tinggi buat kami.

“Kami tidak merasakan tekanan kerana tiada pungutan mata pada perlawanan esok, situasi itu tentunya berbeza buat JDT yang merasakan tekanan untuk cuba memenangi perlawanan esok.

“Selepas kekalahan 0-2 kepada kami pada aksi final Piala Malaysia, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenangi perlawanan Sumbangsih. Harapnya kita dapat pengadil perlawanan yang baik esok,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Menjelang pertemuan esok, Hodak memberitahu, persiapan pasukan berjalan lancar walaupun ada beberapa pemain termasuk Romel Morales tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan.

Katanya, dia tidak akan mengambil risiko sebaliknya mencari jalan untuk menggunakan khidmatnya bagi membantu pasukan meraih kemenangan.

“Kami ambil serius perlawanan esok tapi aksi pembukaan Liga Super menentang Red Giant lebih penting,” katanya memberi bayangan akan menurunkan muka baharu pada perlawanan esok.

Sementara itu, Safee Sali berkata, rakan-rakan sepasukan berkobar-kobar untuk mengulangi kejayaan aksi final Piala Malaysia yang lalu bagi menewaskan JDT dan seterusnya menjulang Piala Sumbangsih bersama KL City.

Safee menjangkakan pertemuan menentang bekas kelab lamanya itu pasti menjanjikan aksi menarik selain mahu mendapatkan minit permainan dalam perlawanan berkenaan.

“Kemenangan esok akan menjadi permulaan baik bagi kempen KL City. Harapnya kita dapat ulangi kejayaan menewaskan JDT,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI