ISKANDAR PUTERI – Pengendali juara Liga Super lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui skuadnya berada pada prestasi terbaik untuk memenangi Piala Sumbangsih menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) malam ini.
Mora memberitahu, keyakinan itu hadir setelah pasukan merekodkan keputusan memuaskan dalam siri perlawanan persahabatan bertaraf tinggi menentang kelab Eropah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu bulan lalu.
Katanya, hasil persiapan pramusim itu menjadikan Harimau Selatan sebagai pasukan baharu dengan setiap pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan.
“Kami mempunyai skuad penuh yang boleh diturunkan pada perlawanan esok, soalnya siapa yang akan diturunkan belum diputuskan. Lima import yang akan diturunkan juga masih belum diputuskan.
“Perlawanan esok adalah satu lagi perlawanan buat kami, kami tidak percaya kepada misi balas dendam. Apa yang pasti, kami akan bermain dengan serius dan memberikan aksi bersungguh-sungguh.
“Kami akan pastikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah ini tidak akan terlepas daripada cengkaman kami biarpun berdepan tentangan hebat KL City yang mampu mencipta kejutan,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Mora turut memberi bayangan penyerang import baharunya, Moussa Sidibe dan Fernando Forestieri akan diturunkan setelah mereka sudah dapat menyesuaikan diri dengan pasukan.
Dalam pada itu, kapten, Farizal Marlias melihat kejayaan menjulang Piala Sumbangsih akan menjadi pembakar semangat buat pasukan mengharungi Liga Malaysia musim ini.
Farizal berkata, kejayaan itu bukan mudah untuk digapai setelah pasukan kendalian Bojak Hodak berjaya mengejutkan JDT pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.
Biarpun beraksi di laman sendiri yang memberi kelebihan buat JDT, Farizal memberitahu, ia juga boleh menjadi tekanan buat pasukan untuk membuktikan Harimau Selatan sebagai pasukan lebih baik.
“Rakan-rakan sepasukan perlu memberi tumpuan penuh sepanjang tempoh 90 minit dan tidak memberikan ruang kepada mereka untuk mengatur gerakan kerana kita tahu apa yang mampu mereka lakukan dengan peluang tersebut.
“Kita perlu menang perlawanan Sumbangsih ini untuk membuktikan kita berada level yang berbeza dan itu harus dikekalkan. Ia juga menjadi peluang buat JDT untuk menambah koleksi piala kelab ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE