PORT DICKSON- Sebuah bengkel pembaikan pam kolam dan gudang penyimpanan makanan udang serta ikan musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kebun Jimah, Bukit Pelandok di sini petang tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Shahrudin Saari berkata, pihaknya mendapat panggilan kejadian pada pukul 1.21 dan tiba dilokasi 11 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba melihat api marak agak besar. Bagaimanapun, dalam masa lima minit kami dapat mengawal kebakaran.
“Ketika kejadian kami dimaklumkan, pekerja sedang berehat dan tiada dalam kawasan bengkel. Terdapat barangan pam kolam, peralatan dan penjana kuasa yang musnah dalam kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, premis yang musnah melibatkan kawasan keluasan 300 kaki persegi. -KOSMO! ONLINE