LONDON – Seorang wanita berdepan kecaman netizen apabila dia mengaku enggan membayar bil perubatan hospital suaminya dengan alasan bahawa mereka tidak berkongsi hal kewangan, lapor akhbar Mirror UK, kelmarin.
Wanita itu yang baru berkahwin selama tiga tahun berkata, dia dan suaminya tidak pernah berbincang atau menguruskan hal kewangan mereka secara bersama-sama.
“Kami tidak berkongsi kewangan dan menyumbang kepada perbelanjaan isi rumah secara sama rata dan secara individu.
“Dia cukup tegas dalam soal wang, bermakna saya tidak sepatutnya meminta wang untuk membayar barangan peribadi dan begitu juga dengan dia,” tulisnya di forum AITA Reddit.
Suami wanita itu yang terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan kecederaan di lutut akhirnya terpaksa meminta bantuan ibunya untuk membayar bil hospital.
Pengakuan wanita itu mengundang komen negatif ke atas perkahwinan pasangan ini yang dianggap tidak normal.
“Jika anda tidak boleh membantu satu sama lain dalam kesusahan, kenapa memilih untuk berkahwin?” komen seorang pengguna media sosial. – Agensi