JOHOR BAHRU – Buat pertama kali bertanding di luar negeri asalnya, Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meletakkan enam calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, enam calon itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.
Beliau berkata, kesemua calon adalah anak tempatan dan mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan serta pengalaman kerjaya termasuk pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penasihat undang-undang, aktivis dan usahawan.
“Bagi DUN Pekan Nanas, kita meletakkan Hishamuddin Busri manakala untuk DUN Bekok pula akan diwakili Sandra Segaran Aramugan,” katanya.
Untuk DUN Mahkota, Warisan mempertaruhkan Mohamed Noor Suleiman, DUN Johor Jaya (Chen Hain Kai), DUN Bukit Batu (Lee Ming Wen) dan DUN Permas (Mohamed Ridza Busu).
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon Warisan PRN Johor 2022 di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE.