KLANG – Polis memberkas tiga lelaki selepas terlibat melarikan seorang peniaga dan pemerasan dalam tiga serbuan bermula kelmarin.
Tiga suspek berusia 38 hingga 42 tahun itu ditahan di daerah ini, Shah Alam dan Rawang pada pukul 7.15 malam, Rabu lalu hingga 1.15 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan ke atas mereka dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada adik perempuan mangsa yang juga peniaga pukul 10.41 pagi, kelmarin.
Siasatan awal mendapati salah seorang pekerja adik mangsa memaklumkan menerusi panggilan telefon pukul 4.30 pagi, hari sama mengenai enam lelaki memecah cermin kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV miliknya yang diletakkan di Taman Sentosa.
Kumpulan lelaki itu kemudian membawa mangsa dengan menaiki van jenis Daihatsu serta tiga buah kenderaan iaitu Perodua Alza, Myvi dan Toyota Hilux.
“Adik mangsa menghubungi salah seorang rakan abangnya dan bercakap dengan seorang lelaki menggelarkan dirinya ‘cikgu’.
“Suspek meminta wang sebanyak RM76,000.00 untuk 80 unit buah mesin bitcoin yang dijual kepada abangnya dan meminta untuk menyerahkan wang tersebut pada pukul 9.43 pagi di Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, bertindak maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Klang Selatan dan Bahagian D8 (Operasi Khas) Kontinjen Selangor menangkap tiga suspek tersebut. Mangsa ditemui di Rawang.
“Punca kejadian ekoran salah faham berkaitan urusan jual beli mesin bitcoin di antara mangsa dan suspek. Ketiga-tiga suspek direman sehingga Ahad ini,” katanya.
Polis masih mengesan saki baki suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 / 384 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE