MENGISI ruang dalam industri yang sentiasa terbuka luas untuk kehadiran pendatang baharu, sebuah band menggelarkan diri sebagai Imagi hadir mencuba nasib.
Mempertaruhkan single perdana berjudul Merasuk sebagai introduksi kehadiran mereka dalam industri, Imagi dibarisi tenaga enam orang pemuzik berpengalaman.
Mereka ialah Zulhilmi Ali atau Amy Bong selaku pemain keyboard, Abror Mustafa (basis), Nazmi Muzaffar (gitaris) dan Hafidz Safar (dram).
Menariknya, dua lagi ahli kumpulan itu iaitu Haziq Haminorddin dan Fitri Johari atau Bab berkongsi posisi yang sama iaitu vokalis. Malah Bab juga bermain untuk sebagai gitaris.
Kisah benar
Menceritakan lanjut tentang single sulung mereka, Merasuk merupakan sebuah lagu bergenre rock alternatif yang jarang diketengahkan dalam arus muzik tempatan ketika ini.
Lagu berkenaan merupakan ciptaan Amy Bong dan menyaksikan kemunculan mereka dalam industri disokong dengan perjanjian yang dimeterai bersama Rocketfuel Indie Space Station (RISS) dalam usaha memperkasakan artis serta band indie lokal.
“Saya merupakan seorang penggiat muzik yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni.
“Perjalanan seni kami berenam bermula ketika melakukan persembahan secara langsung di beberapa buah acara muzik.
“Sehinggalah terdetiknya idea menghasilkan lagu-lagu cover lagu penyanyi terkenal Rocketfuel.
“Dari situ, RISS melihat bakat yang kami ada secara kolektif sebagai sebuah kumpulan lantas mempelawa sertai mereka,” ujarnya.
Menariknya tentang single Merasuk, lagu berkenaan merupakan adaptasi daripada kisah benar.
“Lagu ini berkisar tentang cinta seorang lelaki yang ditolak seorang wanita. Dek kehilangan cinta wanita itu, lelaki tersebut terseksa dan tak keruan.
“Dia tak dapat terima takdir bahawa cintanya ditolak sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bersama wanita dicintainya itu.
“Entah apa yang merasuk dirinya kerana tak mampu hidup tanpa cinta wanita itu,” jelas Bab.
Dua vokalis
Band-band rock yang muncul dalam industri muzik tempatan boleh dikatakan agak meriah, namun begitu, kumpulan legenda tetap menjadi ingatan dan terpahat di hati penggemar.
Ditebak tentang keistimewaan yang membezakan kehadiran mereka dengan band lain, Nazmi berkata, kumpulannya menampilkan dua orang dua orang vokalis dengan tona suara yang berbeza.
“Sementara dari segi muzik pula, kami mengambil pendekatan berlainan dengan menggabungkan idea moden dan klasik supaya setiap karya yang dihasilkan dapat diterima oleh pelbagai lapisan umur.
“Kami juga melakukan proses rakaman dari awal sehingga akhir dengan sendiri supaya jiwa dalam lagu Merasuk lebih sampai ke telinga pendengar,” ujarnya sambil menambah, proses rakaman mengambil masa selama seminggu demi mendapatkan kualiti terbaik.
Lagu Merasuk boleh dimuat turun dalam iTunes Store bermula hari ini selain dapat dinikmati menerusi semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, YouTube Music, KKBox dan Deezer.