fbpx

2 maut, 20 cedera gempa bumi di Sumatera Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH rumah rosak akibat gempa bumi di Kampung Kajai, Pasaman Barat, hari ini. – AFP

JAKARTA – Sekurang-kurangnya dua orang terkorban dan 20 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan Sumatera Barat  pagi tadi dengan penduduk membawa ahli keluarga berlindung di tempat-tempat selamat ketika bangunan mula runtuh.

Gegaran tersebut berlaku beberapa minit selepas satu lagi gegaran yang kurang kuat tercetus sebelum itu, yang menyebabkan penduduk mula meninggalkan rumah mereka.

“Kami berlari keluar dari rumah (selepas gegaran pertama). Saya mempunyai bayi berusia setahun. Dalam keadaan panik saya menolak kerusi bayi keluar dari rumah.

“Saya menyedari berlakunya gempa bumi kerana alat permainan anak saya terjatuh secara tiba-tiba. Saya menjadi panik kerana mempunyai ibu dan bapa mentua di rumah yang dalam keadaan uzur serta berusia,” kata seorang penduduk, Yudi Prama Agustino, 36.

Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter tersebut menggegarkan Pulau Sumatera pada kedalaman 12 kilometer (km), kira-kira 70 km dari bandar Bukit Tinggi di wilayah Sumatera Barat, demikian menurut pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Beberapa gambar di bandar Pasaman yang terletak berhampiran dengan pusat gempa menunjukkan kediaman-kediaman dalam keadaan separa runtuh dengan batu-bata jatuh berselerak di atas tanah serta terdapat lubang pada dinding.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto berkata, kediaman datuk bandar turut mengalami kerosakan dengan serpihan kaca memenuhi lantai.

Beberapa klip yang disiarkan di televisyen turut menunjukkan sebilangan pesakit dibawa ke sebuah hospital di Padang.

Dalam pada itu, gegaran daripada gempa tersebut turut dirasai di wilayah-wilayah berhampiran iaitu Riau dan Sumatera Utara sehingga ke negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI