PASIR MAS – Sindiket penyeludupan didapti menjadikan sebuah pusat penyembelihan ayam proses di Kampung Tendong di sini sebagai transit sebelum menyeludup sebanyak 8.5 tan minyak masak paket ke negara jiran.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor membongkar kegiatan itu semasa melakukan serbuan menerusi Op Bersepadu kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Afendi Juri berkata, semasa serbuan dilakukan, tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan barangan tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati minyak masak itu telah dibawa dari Pahang dan pusat penyembelihan ayam proses tersebut dijadikan transit sementara sebelum diseludup ke negara jiran.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi itu telah menjumpai sebanyak 8.5 tan minyak masak.
“Selain itu, dua buah lori bernilai RM70,000 yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan turur disita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azanizam memberitahu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu atau syarikat yang menjalankan kegiatan penyeludupan. -KOSMO! ONLINE