fbpx

Tertimpa bola boling 6kg, bibir Sheila Rusly berdarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar kejadian ketika Sheila tertimpa bola boling yang dipangku di atas pahanya sewaktu penggambaran drama Ratu Ten Pin kelmarin.

PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah Jinggo berkongsi detik mencemaskan apabila isterinya, Sheila Rusly tertimpa bola boling seberat enam kilogram (kg) ketika penggambaran drama Ratu Ten Pin, kelmarin.

Pemilik nama sebenar Azman Yahya itu berkata, dia bimbang melihat keadaan Sheila yang terbaring menahan kesakitan akibat berlaku pendarahan pada bahagian bibirnya.

“Hanya Allah tahu betapa sedihnya apabila tengok bola 13lb (enam kg) jatuh atas muka awak.

“Darah di bibir awak. Saya tahu awak tahan sakit tapi masa ini awak bukan Sheila Rusly tapi awak adalah Mem Maria.

“Mem Maria adalah seorang yang ‘unstoppable’. Cepat sembuh sayang,” luahnya menerusi sebuah video dalam Instagram.

Menerusi video berdurasi kira-kira seminit tersebut, kelihatan aktres dan penerbit itu sedang duduk di atas kerusi roda.

Dalam drama berkenaan, Sheila membawakan watak sebagai orang kelainan upaya (OKU) menggunakan kerusi roda.

Namun ketika menuju ke pelantar, berlaku kesulitan untuk bergerak disebabkan laluan agak tinggi singga mengakibatkan kerusi roda dinaikinya terbalik.

Lebih malang bola boling yang diletak kemas pada bahagian riba turut jatuh dan menimpa wajah Sheila yang membuatkan ramai terkejut hingga meluru ke arahnya.

Begitupun, Jinggo, 55, memberi kata semangat terhadap isteri tercinta yang hanya mengambil masa setengah hari untuk merehatkan diri sebelum menyambung penggambaran semalam.

Dalam perkongsian sama, aktres yang sudah mencecah 50 tahun itu sudah kembali menyambung kerja penggambaran.

Sekitar pertengahan tahun lalu, menantu mereka, Elisya Sandha yang turut membintangi drama tersebut ditimpa nasib sama.

Elisya tertimpa bola boling di bahagian buku lali hingga diberikan cuti selama dua hari.

Ratu Ten Pin yang sudah memasuki musim kedua masih mendapatkan khidmat nasihat bekas pemain boling kebangsaan, Shalin Zulkifli dan Syaidatul Afifah.

Sheila membawa watak sebagai jurulatih boling bernama Maria, manakala bintang lain ialah Fify Azmi, Nazim Othman dan Syaidatul Afifah.

Sementara itu, rata-rata peminat mendoakan aktres tersebut supaya segera sembuh selain mendoakan penggambaran terus berlangsung dengan lancar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI