KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang merupakan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, menegaskan bahawa beliau tidak menerima rasuah sepanjang hidupnya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Tawfiq berkata, beliau terkejut dengan keterangan yang dibuat bekas pegawai bank Golman Sachs, Tim Leissner pada perbicaraan kes bekas pegawai bawahan lelaki itu, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn di New York, semalam seperti yang dilaporkan media.
“Saya ingin menyatakan secara mutlak bahawa sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima sebarang rasuah daripada sesiapa. Oleh kerana prosiding kes masih berjalan di New York, saya dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang ulasan lanjut kerana ia mungkin menjurus kepada subjudis,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan Tawfiq melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Jagjit Ariff & Co. hari ini.
Beliau juga menegaskan tidak mengenali Leissner atau Roger Ng dan tidak pernah bertemu atau berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.
Justeru beliau berkata, akan berbincang dengan pasukan peguam untuk mendapatkan nasihat perundangan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil di atas kenyataan itu (keterangan Leissner).
Terdahulu berdasarkan transkrip perbicaraan tersebut, Leissner menyatakan 1MDB telah melabur AS$1 bilion dalam projek usahasama tersebut.
Leissner dalam keterangannya menyebut mengenai rasuah yang membabitkan suami bekas gabenor Bank Negara berhubung projek usaha sama PetroSaudi – 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ujarnya, bagi transaksi keluar masuk wang jumlah itu, mereka memerlukan kelulusan daripada Bank Negara dan kelulusan itu perlu dilakukan dalam masa yang singkat.
“AS$1 bilion disalurkan dalam waktu yang singkat ke Malaysia kepada usaha sama itu dan ia telah dilakukan kerana suami kepada gabenor Zeti (Akhtar Aziz) di Bank Negara ketika itu telah menerima rasuah untuk melaksanakannya,” kata Leissner.
Leissner berkata, beliau mendengar melalui Roger Ng bahawa 1MDB melabur AS$1 bilion dalam projek usaha sama itu.
Menurut Leissner, pada 2009 Malaysia masih mempunyai kawalan modal, yang memerlukan pelaburan sebesar itu untuk diluluskan oleh BNM dari segi wang yang keluar negara.
Saksi itu mendakwa dana itu disalurkan dalam waktu yang singkat dan ia dilakukan kerana suami gabenor BNM ketika itu menerima rasuah untuk melaksanakannya.
Roger Ng atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 49, kini berada di New York selepas diekstradisi pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan oleh DoJ berhubung skandal 1MDB. – KOSMO! ONLINE