fbpx

SOP bagi PRN Johor diluluskan KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan Covid-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SOP berkenaan telah diluluskan oleh pihak KKM pada 18 Februari lalu dan akan dilaksanakan dengan ketat sewaktu proses pilihan raya berlangsung kelak.

“Ia selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ikmalrudin, susulan penetapan tarikh Hari Penamaan Calon pada 26 Februari ini, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC).

“Bakal-bakal calon juga disarankan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum Hari Penamaan Calon.

“Pembayaran deposit juga disarankan untuk dibuat lebih awal dan resitnya dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran untuk memastikan proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lanjar,” ujar beliau.

Tambah beliau, tiada sebarang perarakan atau aktiviti berkumpul dibenarkan di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon berlangsung dan penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon juga tidak dibenarkan untuk hadir ke PPC pada hari tersebut.

“Hanya calon, pencadang calon serta penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC manakala penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan untuk hadir ke pusat berkenaan.

“Calon yang mewakili mana-mana parti politik juga perlu mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili dan hendaklah mengemukakannya semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” katanya.

Ikmalrudin menegaskan, SPR berharap agar proses penamaan calon kelak berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan maklumat lanjut SOP berkenaan boleh diperolehi di portal spr.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI