NEW DELHI – Seorang remaja berusia 16 tahun dari India menjadi pemain catur termuda menewaskan juara dunia, Magnus Carlsen dalam satu kejohanan yang diadakan secara online, lapor perkhidmatan berita NPR kelmarin.
Rameshbabu Praggnanandhaa yang berasal dari bandar Chennai berentap dalam kejuaraan Meltwater Champions Chess Tour 2022 yang turut menampilkan 19 pemain elit.
Rameshbabu yang lebih dikenali sebagai Pragg berkata, dia gembira kerana dapat memperbaiki mutu permainannya pada hari pertama kejuaraan dan mengelakkan keputusan seri dalam perlawanan menentang Carlsen.
“Saya amat gembira,” katanya dalam satu temu bual di India.
Pragg menjadi pemain termuda yang menumpaskan Carlsen sejak pemain itu menjadi juara dunia pada 2013.
Sementara itu, bagi Carlsen, ia merupakan satu lagi permainan yang mengecewakan dalam pertandingan yang menyaksikan beliau banyak melakukan kesilapan.
Pemain dari Norway itu juga mengakui sedang mengalami gejala-gejala kesan daripada Covid-19, selepas didapati positif wabak itu sebelum kejuaraan berlangsung.
“Ia agak teruk. Saya telah bermain dengan baik dalam beberapa set permainan, namun yang selebihnya adalah teruk. Saya perlu melakukan yang lebih baik,” katanya. – AGENSI