fbpx

Percikan api dalam kuali punca restoran musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anne menunjukkan restoran milik keluarganya yang musnah dalam kebakaran di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri hanya mampu melihat restoran yang diusahakan mereka sejak 13 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Gajah Mati di sini hari ini.

Kejadian kira kira pukul 10 pagi itu menyebabkan keseluruhan Restoran Natural Vegetarian milik pasangan itu musnah hampir 100 peratus.

Ketika kejadian, pemilik restoran, Long Koy Chee, 54, dan suaminya Liew Thong, 56 sedang memasak di bahagian dapur.

Anak mangsa, Anne Liew, 25, berkata, kedua ibu bapanya sedang menyiapkan hidangan dan baru sahaja memulakan operasi kedai mereka sekitar pukul 10 pagi.

“Ketika mereka sedang memasak, tiba-tiba berlaku percikan api dari kuali yang mengandungi minyak masak panas. Keadaan itu menyebabkan api itu terus merebak dengan cepat ke seluruh bahagian dapur.

“Mereka mula panik dan meminta pertolongan pemilik restoran bersebelahan. Ibu dan ayah cuba memadamkan api dengan menyimbah air, namun api terus marak dan membakar hampir keseluruhan kedai,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Anne berkata, mujur kedua ibu dan ayahnya bertindak pantas keluar dari restoran dan bertindak menghubungi bomba untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, seramai 29 anggota dengan empat jentera dari Balai Bomba Kota Bharu dan Balai Bomba Darul Naim bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba, restoran itu sudah terbakar 100 peratus dan kita cuba mengawal api supaya tidak merebak ke restoran sebelah.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh restoran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI