PORT DICKSON – Seorang bayi lelaki, Maayish Khalish Mohd. Amirul Nizal yang menghidap penyakit kerosakan hati ‘Biluary Atresia’ meninggal dunia petang kelmarin ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Maayish Khalish meninggal dunia pada pukul 6.50 petang di pangkuan ibunya, Siti Norsolehana Selamat, 25, dan suami yang kebetulan berada di HKL untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi menjadi penderma hati kepada anaknya itu.
Berita berkaitan: Bayi diuji penyakit kerosakan hati
Bapa bayi itu, Mohd Amirul Nizal Norizal, 27, berkata, dia reda ketentuan Ilahi walaupun Allah meminjamkan Maayish Khalish hanya sementara.
“Kami bertemu doktor untuk berbincang tentang proses pembedahan itu nanti dan agak terkejut apabila diberitahu anak sulung kami ini tidak dapat diselamatkan lagi kerana keadaannya semakin kritikal.
“Doktor minta kebenaran untuk buka saluran bantuan pernafasan agar dia boleh pergi dengan tenang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Springhill di sini semalam.
Maayish Khalish telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lukut di sini malam kelmarin.