KES jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia tidak menunjukkan penurunan membuatkan perlunya satu inisiatif bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Varian Omicron yang melanda negara ketika ini sehingga angka positif harian kembali meningkat mencecah lima angka sehari masih mampu membunuh, walaupun tidak seteruk varian Delta sebelum ini.
Varian tersebut mempunyai mutasi yang banyak termasuk pada ‘spike protein’, menyebabkan ia boleh menjangkiti mereka yang sudah divaksin dan yang pernah dijangkiti sebelum ini.
Walaupun varian itu tidak menyebabkan kes yang parah seperti Delta, tahap untuk merebak sangat mudah.
Dalam pada itu, media melaporkan, Malaysia mencatat sebanyak lebih daripada 50,000 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19, sekali gus menyebabkan penggunaan katil harian pesakit bagi golongan itu, semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes di dalam negara.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) telah pun bermula bagi memberi perlindungan dan mengelakkan daripada gejala yang lebih teruk terhadap golongan tersebut.
Pakar kesihatan awam, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, pentingnya bagi ibu bapa untuk memberi perlindungan yang sewajarnya kepada anak-anak daripada wabak Covid-19 tersebut.
Jelasnya, kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak juga membimbangkan dan serius.
“PICKids amat penting untuk ibu bapa membenarkan anak-anak mereka memperoleh perlindungan, walaupun ada dalam kalangan kanak-kanak tidak mengalami simptom yang serius.
“Dapat dilihat ada sebahagian golongan tersebut yang mengalami jangkitan lebih serius, malah sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ dalam mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Tambahnya, salah satu cara bagi memerangi wabak Covid-19 ialah dengan mendapatkan vaksinasi.
“Vaksin ini tujuannya ialah untuk menghalang jangkitan teruk bukan bermakna tidak akan dapat jangkitan langsung atau kebal, tetapi vaksin mampu memberi perlindungan dan mengelakkan daripada jangkitan yang lebih teruk,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak kerana jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.
Tambahnya, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.