GUA MUSANG – Kerajaan negeri Kelantan berjaya menarik pelaburan untuk menjalankan aktiviti agro pelancongan dan perladangan durian Musang King bernilai RM1.4 bilion yang berpangkalan di daerah ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, usaha merancakkan ekonomi itu merupakan langkah kerajaan negeri untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di negeri ini.
Katanya, pelaburan industri perladangan musang king dan pelancongan itu akan dikendalikan oleh Syarikat Sindiyan Sdn. Bhd. di atas tanah seluas lebih 3,000 hektar.
“Selain ladang dan kilang pengeluaran durian musang king, kawasan ini juga akan dilengkapi dengan perumahan, galeri rumah Orang Asli dan taman bunga.
“Kerajaan negeri memberi sokongan untuk melakaanakan usaha yang baik ini kerana kita tahu durian musang king sebenarnya berasal dari negeri Kelantan. Jadi, projek ini boleh mengembalikan jenama itu kepada Kelantan dan Gua Musang menjadi tempat pengeluaran musang king yang utama di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Pembangunan Pusat Agro Pelancongan dan Ladang Durian Musang King di Pos Blau di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Pengerusi Sindiyan Agropark, Datuk Roshaimi Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn. Bhd, Anna Teo.
Tambah Mohd. Amar, projek berkenaan juga telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 200 penduduk Orang Asli tempatan. – KOSMO! ONLINE