IPOH – Jenazah balu Allahyarham bekas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia petang semalam, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini hari ini.
Jenazah Puan Sri Ainon Abdul Ghani, 82, selamat dikebumikan bersebelahan pusara suaminya pada pukul 11.25 pagi.
Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat pada pukul 10.30 pagi dengan diimamkan anak bongsunya, Datuk Ahmad Wafi.
Proses pengebumian berjalan lancar dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3 petang semasa dibawa ke sebuah hospital swasta di sini untuk mendapatkan rawatan akibat demam.
Bagaimanapun, Allahyarham meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.
Pada 30 Mei tahun lalu, Harussani, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana Covid-19 yang ketika itu turut menjangkiti isterinya.
Selain Harussani dan isteri, kira-kira 10 ahli keluarga lain termasuk jururawat peribadi turut dijangkiti virus berkenaan.
Pasangan berkenaan mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan namun dua anak mereka iaitu Abdul Hakam meninggal dunia pada usia 24 tahun pada 1994 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di Mesir.
Anak sulung pasangan itu, A. Abdul Hakim Mazhar, 54, pula meninggal dunia di HRPB pada 16 Ogos tahun lalu setelah positif Covid-19. – KOSMO! ONLINE