PETALING JAYA – Amalan sihir, santau dan ilmu bercanggah ajaran Islam didapati masih banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di negara ini.
Seorang pengamal perubatan Islam, Syafiq Mujahid membongkarkan taktik dukun dalam menghantar sihir pemisah kepada pasangan suami isteri.
Menerusi perkongsian video oleh @aamer7997 di media sosial, menyaksikan perbualan di antara ustaz tersebut bersama seorang dukun yang dihubungi dengan tujuan meminta pertolongan bagi memisahkannya dengan isteri pertama.
Dalam rakaman tersebut, Syafiq menyamar sebagai seorang pelanggan yang mempunyai dua orang isteri dan ingin mendapatkan perkhidmatan dukun berkenaan.
“Saya tak suka pada isteri kedua saya, dia buat hal,” katanya.
Selain itu, dia sempat membuat permintaan agar dibantu ‘tundukkan’ isteri pertamanya agar lebih mematuhi segala arahan dan suruhannya.
“Isteri pertama saya ingin bagi dia ‘penunduk’ sebab dia degil,” ujarnya.
Kemudian, dukun berkenaan mengenakan bayaran upah sebanyak RM600 bagi kedua-dua permintaannya itu.
“Satu kali saya kerjakan iaitu bagi isteri pertama tinggalkan kamu, dan kedua dia akan tunduk pada kamu.
“Harganya hanya sebanyak RM600 sahaja,” kata dukun tersebut.
Sementara itu, Syafiq turut menanyakan berapa lama tempoh untuk sihir tersebut berkesan serta mengenai jenis barangan yang perlu disediakannya.
“Dia ambil masa sekitar dua hingga tiga jam sahaja dan nanti isteri akan mula marah-marah dan mohon untuk diceraikan.
“Kalau untuk yang sihir bagi isteri tunduk, dia akan marah-marah kamu juga dan minta maaf selepas itu, kemudian dia akan mula tunduk pada kamu,” kata dukun berkenaan lagi.
Tambah dukun tersebut, pelanggan hanya perlu menyediakan gambar dan nama mangsa untuk diberikan kepada pihak dukun bagi menjalankan proses menyihir.
Lebih menakutkan apabila, dukun tersebut memaklumkan sihir yang dihantar akan terus kekal didalam badan seseorang walaupun telah dibawa berubat.
Dalam pada itu, dukun tersebut sempat mengatakan bahawa sudah ramai pelanggannya dari Malaysia mendapatkan perkhidmatannya dalam menghantar sihir kepada mangsa.
Seterusnya, Syafiq mendedahkan sudah merawat ramai daripada golongan selebriti yang terkena sihir serta gangguan mistik.
Jelasnya, dia menasihati masyarakat diluar sana terutamanya pasangan suami isteri agar tidak terjebak dengan perkara khurafat ini dan sebaliknya sering memperbetulkan masalah rumah tangga dengan baik. – KOSMO! ONLINE