fbpx

CAP bimbang penjualan kit ujian kendiri tiada kelulusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang mengenai penjualan kit ujian kendiri Covid-19 tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan (MDA) di pasaran negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menggesa kerajaan supaya membatasi penjualan kit ujian berkenaan dengan mengehadnya kepada farmasi dan outlet runcit yang sah.

Beliau berkata, kemudahan membelinya di pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak akan menyulitkan kerja pemantauan oleh pihak MDA.

“Penularan pantas varian Omicron telah menyebabkan permintaan untuk kit ujian kendiri Covid-19 melonjak.

“Permintaan tinggi seumpamanya telah mendorong sesetengah orang bertindak menjual kit ujian palsu atau tidak diluluskan dan CAP amat memandang berat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen lagi, tinjauan pihaknya mendapati kit ujian kendiri itu dijual di farmasi, kedai serbaneka, kedai runcit dan stesen minyak.

“Dengan penjualan yang meluas, kami ingin tahu sama ada ia mendapat kelulusan MDA.

“Walaupun MDA telah mengenal pasti senarai 12 syarikat dan produk keluaran yang mendapat kelulusannya, pengguna mengalami kesulitan untuk mengesahkannya ketika membeli,” katanya.

Tambah beliau, turut dibimbangi adalah kemungkinan terdapat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menjual kit ujian kendiri Covid-19 tanpa kelulusan secara online.

“Hasil ujian kit yang negatif dan palsu boleh membuatkan seseorang itu leka yang membantu penularan virus tersebut dan tidak berpeluang mendapatkan rawatan perubatan di peringkat awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI