fbpx

Bayi diuji penyakit kerosakan hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAAYISH KHALISH kini menderita penyakit kerosakan hati.

PORT DICKSON – Kebahagian yang baharu dikecapi sepasang suami isteri selepas menimang cahaya mata diuji apabila zuriat sulung mereka disahkan menghidap penyakit kerosakan hati.

Bapa bayi tersebut, Mohd. Amirul Nizal Norizal, 27, berkata, dia dan isterinya, Siti Norsolehana Selamat, 25, bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi, sekali pun anaknya kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lebih menyedihkan kata Mohd. Amirul Nizal, bayi lelaki yang diberi nama Maayish Khalish Mohd. Amirul Nizal dan berusia 11 bulan itu terpaksa di­tinggalkan bersendirian tanpa penjagaan ibu bapa sepanjang mendapat rawatan di HKL sejak awal Februari lalu.

“Saya sudah hubungi doktor dan mereka maklumkan anak kami sekarang ditahan di wad ICU kerana dalam keadaan kritikal.

“Bayangkan bagaimana saya dan isteri menerima berita ini sedangkan kami tidak dapat melihat dan menjaganya di HKL,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bandar Springhill di sini kelmarin.

MOHD. AMIRUL bersama isterinya merayu bantuan orang ramai untuk membantu meringankan beban pembedahan anak sulungnya.

Menurut Mohd. Amirul Nizal, pihak doktor memaklumkan Maayish Khalish mengalami ­penyakit kegagalan fungsi organ hati (Billiary Atresia) sejak berusia sebulan.

“Dalam tempoh itu, dia sering sakit dan kerap muntah sebelum kami mendapat tahu dia menghidap penyakit berkaitan hati dan perlu melakukan pembedahan pe­mindahan hati secepat mungkin.

“Kami difahamkan, untuk me­lakukan pembedahan permindahan hati, ia perlu keizinan pen­derma yang bersesuaian tetapi perlu menunggu slot kekosongan jika dilakukan di HKL kerana kos yang tinggi.

“Bagi hospital swasta pula, anggaran kos adalah sebanyak RM150,000,” katanya.

Mohd. Amirul Nizal yang be­kerja di sebuah kilang di Bandar Sri Sendayan berkata, dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, agak mustahil untuk dia menyediakan wang sebanyak itu bagi tujuan pembedahan.

“Memang kalau diikutkan hati, saya mahu putera sulung kami, Maayish Khalish menerima rawatan terbaik, tetapi apakan daya, saya berharap agar orang ramai dapat membantu kami agar pembedahan segera dapat dilakukan.

“Penderma hati tidak ada masalah kerana isteri saya sendiri sanggup melakukannya cuma perlu melepasi pelbagai prosedur pemeriksaan mengikut kesesuaian dengan anak kami,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang berhasrat membantu bagi meringankan beban keluarga ini untuk melakukan pembedahan permindahan hati boleh terus menghubungi Mohd. Amirul Nizal di talian 011-51454475 atau melalui WhatsApp 011-53519597.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI