BARCELONA – Bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mendedahkan bahawa pemain pertahanan Aston Villa, Tyron Mings merupakan pemain pertahanan yang paling sukar dihadapinya.
Pemain berusia 32 tahun itu yang kini menyertai Barcelona pernah berdepan beberapa lagi pemain pertahanan terbaik dunia seperti Virgil Van Dijk, Ruben Diaz dan Sergio Ramos, namun telah membuat kenyataan yang mengejutkan itu.
Dalam satu temubual bersama akhbar di Sepanyol, Auba telah ditanya mengenai perkara tersebut dan dia mengambil sedikit masa sebelum menyebut nama kapten Aston Villa itu sebagai individu yang sukar ditentangnya.
Auba dan Mings pernah berentap dalam lima pertemuan melibatkan Arsenal dan Villa yang berjaya meloloskan diri ke saingan Liga Perdana Inggeris sejak 2019.
Dalam lima pertemuan berkenaan, Mings berjaya membantu pasukannya mencatat tiga kemenangan dan ketiga-tiga perlawanan itu menyaksikan Villa meraih kejayaan tanpa bolos.
Sementara dua perlawanan lagi ia berpihak kepada Arsenal termasuk ketika meraih kemenangan 3-1 di Emirates pada November lalu dan Auba berjaya mencetak nama selaku penjaring gol kedua-dua perlawanan itu.
Pertembungan paling diingati melibatkan kedua-dua pemain itu ketika Villa meraih kemenangan 1-0 pada Julai 2020 apabila Auba dilihat cuba bergurau dengan Mings ketika Villa mendapatkan sepakan penjuru.
Bagaimanapun, Mings mengambil kesempatan di atas kelekaan Auba apabila menanduk bola yang kemudiannya disambut rakannya, Trezeguet sebelum melakukan rembatan yang menerjah gawang Arsenal.
Situasi itu menyebabkan Auba dikecam oleh para peminat The Gunners kerana gagal mengawal Mings dengan baik dan tidak serius ketika berada dalam perlawanan. – AGENSI