WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan sekatan keras baharu terhadap Rusia kelmarin kerana ‘memulakan’ pencerobohan ke atas Ukraine tetapi menyatakan bahawa masa untuk mengelak peperangan masih ada, walaupun Vladimir Putin memberi isyarat untuk menghantar tentera ke luar sempadan Rusia.
Dewan Tinggi Rusia memberi persetujuan sebulat suara untuk Putin mengerahkan ‘tentera pengaman’ ke dua wilayah Ukraine yang memberontak dan kini diiktiraf oleh Moscow sebagai merdeka. Putin juga berpotensi menghantar tentera Rusia ke wilayah-wilayah lain di Ukraine.
Biden mengumumkan apa yang disebut beliau sebagai sekatan ‘peringkat pertama’ termasuk langkah-langkah untuk memusnahkan pembiayaan Rusia dan menyasarkan institusi kewangan serta golongan elit negara itu.
Namun, beliau masih membuka pintu untuk usaha terakhir diplomasi bagi mengelakkan pencerobohan berskala penuh penuh Rusia ke atas Ukraine.
“Tidak ada kesangsian bahawa Rusia adalah penceroboh, jadi kami jelas tentang cabaran yang kami hadapi.
“Namun begitu, masih ada masa untuk mengelak senario terburuk yang akan membawa penderitaan tidak terperi kepada berjuta-juta orang,” kata Biden.
Ucapan Biden itu menyusuli gelombang sekatan yang diumumkan oleh Britain dan Kesatuan Eropah, selepas Putin mengiktiraf republik pemberontak Donetsk dan Luhansk di Ukraine.
Jerman juga mengumumkan bahawa pihaknya menghentikan pensijilan saluran paip gas Nord Stream 2 dari Rusia.
Rancangan Putin yang seterusnya masih tidak jelas tetapi Barat memberi amaran sejak beberapa minggu lalu bahawa beliau beliau bersedia untuk melancarkan pencerobohan penuh ke atas Ukraine, langkah yang dibimbangi akan mencetuskan perang dahsyat di Eropah.
Pentadbiran Biden memberi isyarat Washington tidak lagi percaya bahawa Rusia serius untuk mengelakkan konflik di Ukraine, justeru, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membatalkan pertemuannya dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang dijadualkan lewat minggu ini.
“Sekarang kita melihat pencerobohan sudah bermula dan Rusia menjelaskan dengan nyata untuk menolak diplomasi. Adalah tidak munasabah untuk meneruskan mesyuarat bersama Lavrov,” kata Blinken.
Bercakap kepada pemberita, Putin berkata bahawa perjanjian damai Minsk mengenai konflik Ukraine tidak lagi diguna pakai wujud beliau mengiktiraf lebih banyak tuntutan wilayah oleh puak pemisah pro-Moscow di Ukraine.
Bagaimanapun, beliau menambah, penempatan tentera Rusia akan ‘bergantung pada situasi semasa’ sekali gus menawarkan jalan keluar daripada konflik sekarang jika Kiev bersetuju melepaskan harapan untuk menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai AS.
“Penyelesaian terbaik adalah jika Kiev sendiri enggan menyertai NATO dan mengekalkan dasar berkecuali,” kata Putin.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua NATO, Jens Stoltenberg berkata, pakatan itu mempunyai ‘semua petunjuk’ bahawa Moscow merancang serangan berskala penuh ke atas Ukraine.
Kyiv tidak menunjukkan tanda-tanda akan tunduk terhadap tuntutan Putin itu dengan Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba bertemu Biden untuk merayu lebih banyak bantuan ketenteraan.
Biden berkata dalam ucapannya di White House bahwa AS akan terus membekalkan senjata ‘defensif’ kepada Ukraine. Washington juga mengerahkan lebih ramai tenteranya untuk mengukuhkan kedudukan NATO di Eropah Timur.
Sementara itu, Kiev memanggil semula diplomat tertingginya dari Moscow ketika Presiden Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa pengiktirafan Putin terhadap wilayah pemberontak itu menandakan ‘pencerobohan tentera selanjutnya’ akan dilakukan terhadap Ukraine.
Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian berkata, menteri-menteri luar EU sebulat suara bersetuju dengan pakej sekatan awal AS. Le Drian turut membatalkan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Rusia.
“Sekatan itu akan menjejaskan Rusia dengan teruk,” kata ketua dasar luar EU, Josep Borrell kepada pemberita.
Britain pula mengenakan sekatan ke atas lima bank Rusia dan tiga bilionair negara itu, manakala Kanada mengambil langkah serupa. – AFP