fbpx

Apakah raja semua haiwan? AYAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambartangan dengan memberi subsisi sebanyak RM500 juta kepada penternak. - Gambar hiasan

Besarnya masalah di Malaysia. Ia bukan mengenai ekonomi, pengangguran, kos sara hidup, gaji minimum atau pandemik Covid-19. Semua itu tidak sepenting daripada masalah ayam atau kekurangan ayam dan kenaikan harga haiwan itu.

Haiwan itu sangat penting kepada masyarakat negara ini. Mungkin kerana itu lagu Ayam nyanyian Jalil Hamid sangat popular.

Masyarakat sememangnya terpersona dengan ayam berbanding haiwan-haiwan lain. Jika diselidiki, terdapat tidak kurang 40 peribahasa bahasa Melayu menggunakan perkataan ‘Ayam’.

Contohnya, ‘Bagai Ayam disambar Helang’, ‘Seperti Ayam Berak Kapur’, ‘Kalau Kucing Keluar Tanduk, Barulah Ayam Boleh Bersusu’, ‘Ajak-Ajak Ayam’, ‘Ayam Jalak’, ‘Ayam Tambatan’, ‘Bagai Ayam Mengeram Telur’, ‘Cakar Ayam’, ‘Hangat-Hangat Tahi Ayam’. Kenapa tidak kucing atau anjing disambar helang atau kerbau tambatan.

Mungkin di mana-mana sahaja anda pergi, ayam mudah didapati. Di kampung-kampung, ayam hampir dibela di setiap rumah. Akan ada reban kecil, nasi berlebihan diberi makan dan telur diambil.

Jadi apabila krisis kekurangan dan kenaikan harga ayam timbul, ia menjadi masalah nasional terbesar mengalahkan darurat. Kementerian berkaitan seperti tiada masalah lebih menggoncang dunia.

Penternak dan peniaga ayam memberi amaran jika kenaikan harga ayam tidak dilayan, bekalan akan terganggu. Rakyat Malaysia akan hidup tanpa ayam seperti Kentucky Fried Chicken tanpa ‘chicken’.

Tuntutan kenaikan ayam itu berlaku kurang dua bulan sebelum bulan Ramadan dan diikuti Aidilfitri. Ketika itu lebih 60 peratus rakyat negara ini akan berbelanja besar daripada membeli juadah ayam untuk berbuka sehingga rendang ayam pencen ketika pagi Aidilfitri.

Jika dilihat setiap kali musim perayaan, harga ayam akan meningkat. Kerajaan akhirnya terpaksa campur tangan menangani krisis ayam.

Untuk melegakan ribuan penternak ayam daging dan telur ayam, kerajaan memberi subsidi sebanyak lebih RM500 juta kepada penternak untuk tempoh selama empat bulan. Ia bagi memastikan bekalan daging dan telur ayam mencukupi.

Dengan sekelip mata, daging dan telur ayam berjaya memasuki kategori ‘barangan prestij’ yang sama ada dikawal harga atau mendapat subsidi kerajaan seperti bekalan elektrik bukan komersial, RON95, diesel, beras, minyak masak, gas petroleum cecair, gula dan gandum.

Jadi setiap kali kita memakan ayam, pembayar cukai akan merasai sebahagian cukai yang dibayar dalam ayam yang dimakan.

Keadaan ini akan berlarutan kerana pelbagai tekanan daripada permintaan tinggi kepada harga dedak ayam. Masalahnya, Malaysia bukan tidak kurang tanah. Pergi sahaja ke mana-mana jalan, tanah luas terbentang. Kebanyakan tidak diusahakan.

Jika setiap penduduk di kampung diberikan insentif untuk membela ayam (sesuatu yang bukan luar biasa), masalah bekalan ayam dapat diselesaikan. Penduduk kampung akan mendapat meluaskan sumber pendapatan dan negara tidak terjerumus ke dalam krisis.

Jadi tidak hairan peribahasa ini. ‘Tuah Ayam Nampak Di Kaki, Tuah Manusia Tiada Siapa Yang Tahu’. Berusaha keras adalah lebih 80 peratus daripada ‘tuah’. Masa untuk mencari tuah ayam dengan berusaha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI