fbpx

Teksi udara AirAsia terbang pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAWAT eVTOL XV4 sesuai digunakan untuk pergerakan mobiliti udara atau ‘teksi terbang’ dalam bandar.

KEBIASAANNYA perjalanan menggunakan udara menjadi pilihan ramai untuk ke sesuatu destinasi kerana menjimatkan masa.

Kebanyakan syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan tersebut untuk destinasi-destinasi yang jauh.

Namun kini, pengguna boleh merasai perjalanan udara jarak pendek setelah syarikat pemajakan pesawat antarabangsa, Avolon menandatangani memorandum persefahaman tanpa ikatan dengan AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) untuk memajak sekurang-kurangnya 100 buah pesawat eVTOL VX4.

Pesawat eVTOL itu akan membolehkan AirAsia merevolusikan perjalanan udara dengan menyediakan mobiliti udara atau ‘teksi udara’ yang lebih maju kepada para penumpang baharu, seterusnya mengubah cara untuk mereka berhubung dengan lebih cekap bermula tahun 2025.

Sebagai tambahan kepada pesawat eVTOL, Avolon melalui syarikat sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-eakan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat eVTOL dengan pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara.

TONY (kiri) dan Slattery menandatangani memorandum persefahaman untuk memajak sekurang-kurangnya 100 buah pesawat eVTOL XV4.

Avolon dan AirAsia juga akan membentuk kakitangan untuk memohon pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.

AirAsia juga akan memanfaatkan aplikasi mudah alih perjalanan dan gaya hidupnya, airasia Super App untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, inovasi adalah DNA syarikatnya dan pihaknya menggunakan teknologi untuk melihat cara yang lebih cekap dan mampan dalam semua teras Capital A yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group.

“Kami kini lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dengan lebih 20 produk dan perkhidmatan pada airasia Super App yang memanfaatkan antara satu sama lain termasuk penerbangan, hotel, makanan, barangan runcit, penghantaran, e-panggilan perjalanan dan banyak lagi.

“Saya berbesar hati dengan kerjasama antara Avolon dan AirAsia ini dan potensi untuk perjalanan udara jarak pendek dengan pelepasan sifar di Asia Tenggara,” katanya.

Tambah Tony, dia percaya VX4 akan menjadi pesawat pilihan.

TEMPAHAN pesawat eVTOL XV4 boleh dibuat melalui aplikasi airasia SuperApp tidak lama lagi.

Jelasnya, pihaknya teruja kerana bakal menjadi syarikat penerbangan pertama untuk melancarkan perkhidmatan menggunakan pesawat ini di Asia Tenggara.

Beliau juga berbesar hati untuk melanjutkan kerjasama dengan Avolon, yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam menghantar pesanan kepada pelanggannya dan sejajar dengan visi syarikat untuk menjadi platform perjalanan dan penghantaran sehenti terkemuka di Asia Tenggara.

Sementara itu, pesawat eVTOL VX4 berkapasiti empat penumpang dan seorang juruterbang boleh mencapai kelajuan maksimum hingga 321.8 kilometer sejam dan boleh menempuh jarak penerbangan melebihi 160 kilometer sesuai digunakan sebagai mobiliti udara dalam bandar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avolon, Dómhnal Slattery berkata, Tony Fernandes ialah perintis penerbangan yang telah membina AirAsia menjadi salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia.

Katanya, kini beliau mencipta Super App yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan tumpuan kepada perjalanan.

“Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AirAsia yang berkongsi visi kami untuk merevolusikan masa depan perjalanan udara.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan Tony dan seluruh pasukan AirAsia dalam perjalanan eVTOL mereka.

“Kami akan bersama membangunkan platform perkongsian perjalanan dan tidak lama lagi dengan menawarkan pesawat VX4 dengan pelepasan sifar.

“Ini menjadikan AirAsia sebagai pengendali pilihan untuk perjalanan udara mampan di rantau ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI