PETALING JAYA – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat meluahkan rasa sedih apabila tidak dapat menyambut hari kelahirannya bersama anak-anaknya hari ini.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik Sajat di laman Instagram miliknya, dia hanya mampu mengimbau kembali kenangan bersama dua orang anak angkatnya itu selain menyifatkan kehadiran mereka sebagai hadiah yang paling bermakna buat dirinya.
“Tiada apa yang ingin saya katakan pada hari ini.
“Buat hari jadi adalah kenangan saya dengan anak-anak saya kerana merekalah hadiah paling berharga untuk saya,” tulisnya.
Sementara itu, Sajat sempat berkongsi gambar dia dan anak-anaknya ketika sambutan hari jadi tahun lepas.
Menurutnya, sudah hampir setahun dia tidak bertemu dengan anak-anaknya dan memohon maaf kerana tidak dapat mengadakan sambutan hari jadi dengan meriah pada tahun ini.
“Tahun ini, saya hanya rindukan anak-anak saya sahaja. Ini gambar saya dengan anak saya pada tahun lepas, 23 Februari 2021.
“Tetapi hampir satu tahun berlalu dan waktu berjalan pantas, saya rindu sangat pada anak saya.
“Maafkan saya jika saya tak sambut meriah hari jadi saya sebab saya banyak memikirkan perasaan anak-anak saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia turut menitipkan ucapan selamat hari jadi buat dirinya selain meluahkan rasa sayang kepada kedua-dua anaknya serta kekasih hatinya, Jados.
“Selamat hari jadi untuk Nur Sajat buat terakhir untuk tahun ini, semoga Sajat berbahagia dan berjaya selalu di dalam kehidupan ini.
“Buat Syaza dan Syahmi, saya cintakan kamu berdua.
“Untuk kekasih hati, Jados saya cintakan awak selamanya,” luahnya. – KOSMO! ONLINE