fbpx

Sharifah Rose – Dahulu kayu, sekarang meledak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH ROSE

BARU mekar tetapi semerbaknya mewangi di taman seni. Itulah Sharifah Rose, sekuntum nama yang sentiasa hidup dan tanpa henti menjadi bahan bualan netizen sejak tahun lalu.

Menyorot kembali, bertalu-talu kritikan dilemparkan kepadanya susulan lakonan ‘kayu’ dan dikatakan persis sebatang pokok menerusi drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard sekitar awal tahun lalu.

Ternyata segala kata-kata pedas itu tidak menjadi kudis, sebaliknya bertukar menjadi rezeki yang sentiasa mengalir untuk pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira itu.

Sekali lagi, dia diberi peluang memegang watak utama dalam sebuah drama, 3 Nota Cinta yang kini disiarkan menerusi slot Akasia TV3.

Bukan mudah untuk seorang pelakon tanah air diberi peluang menempatkan diri dalam slot drama utama tetapi berbeza untuk aktres yang mesra disapa sebagai Rose itu.

PERNAH dilabel sebagai kayu, Rose berpegang pada pendirian untuk terus belajar dan meneroka lebih banyak kemampuan diri. – SHIDDIQIEN ZON

Niat terus belajar

Menyedari hal tersebut, Rose sebenarnya tidak menyangka masih diberi kepercayaan untuk menjadi pelakon utama dalam sebuah drama, sementelah masih dilabel sebagai pelakon kayu.

“Sebenarnya, di sebalik situasi berdepani kecaman, saya banyak belajar dan lebih bersemangat memperbaiki kelemahan dalam lakonan.

“Satu perkara yang saya tanam dalam diri ialah niat untuk terus belajar bidang ini sebab karier saya tidak bermula dengan hebat,” tuturnya merendah diri.

Sentiasa optimis dan tidak menoleh ke belakang. Sepertinya itu yang dipraktikkan oleh pelakon berusia 24 tahun itu.

Waima tidak henti dikecam, dia enggan membiarkan dirinya hanyut dibuai kesedihan rentetan kata-kata pedih manusia.

“Siapa yang tidak sedih dikecam tetapi saya pegang dengan kata-kata, semua manusia melakukan kesilapan. Bagus juga bila lakukan kesilapan sebab sedar kelemahan diri.

“Selain itu, saya terbuka dengan semua kritikan. Memang pedih tetapi itu realiti yang perlu saya tempuh. Ini jalan yang saya pilih,” kata anak kelahiran Selangor itu kepada HibGlam, baru-baru ini.

Ditanya tentang persepsi umum mengenainya yang sekali lagi diberi watak heroin ketika usia karier masih setahun jagung, Rose memandang situasi tersebut sebagai durian runtuh.

“Sebelum ini niat hanya ingin belajar tetapi bila dapat lagi tawaran berlakon, saya cuma fikir ini peluang untuk timba lagi pengalaman. Memang seronok dan terkejut kerana masih dipanggil dan diberi peluang.

“Jika di set penggambaran, saya lebih suka ditegur secara terus terang jika lakonan ada kekurangan berbanding dihentam selepas drama selesai,” katanya lagi.

ROSE mengakui naskhah 3 Nota Cinta memberi cabaran berbeza berbanding drama lakonan terdahulu terutama dalam penyampaian emosi.

Cabaran watak isteri

Sebagai pendatang baharu dan masih berstatus bujang, menjayakan watak individu yang telah berkahwin juga bukan satu perkara mudah.

Akui Rose, memegang watak sebagai wanita yang telah mendirikan rumah tangga dan melalui pelbagai konflik sebagai seorang isteri adalah cabaran yang perlu dihadapinya dalam 3 Nota Cinta.

“Saya belum berkahwin jadi hendak menyampaikan emosi marah serta kecewa sebagai seorang isteri memang agak berat.

“Terdapat beberapa adegan yang memerlukan saya melontarkan emosi marah. Secara peribadi, saya bukan seorang yang pemarah dan perkara itu sedikit mencabar kemampuan.

“Babak halau suami keluar rumah, semua itu babak paling mencabar kerana tidak pernah melalui pengalaman sebagai seorang isteri yang ada masalah rumah tangga,” jelasnya.

Tutur si cantik yang bermula sebagai pesohor media sosial itu, watak Alisa yang banyak bermain dengan emosi terpendam juga sangat berlawanan dengan sifat pemalunya.

“Sangat mencabar lebih-lebih lagi nak sampaikan emosi marah atau benci yang dipendam dalam hati tanpa dialog,” kongsinya.

TIDAK kisah dikritik, Rose mengamalkan konsep terbuka menerima segala kecaman netizen sejak memulakan langkah sebagai anak seni.

Kontroversi Sekuntum

Barangkali, kecaman juga boleh dianggap stau rezeki kerana perkara tersebut terus menghidupkan namanya dalam media sosial.

Lebih meledakkan namanya apabila jenama perniagaan tudung pertamanya, Sekuntum dituduh meniru sebuah lagi jenama lokal yang mempunyai nama hampir sama.

“Perkataan ‘sekuntum’ sangat dekat di hati kerana itulah panggilan keluarga untuk saya sejak kecil.

“Jadi, kami memutuskan untuk mendaftar nama Sekuntum kerana perkataan itu tidak terhad kepada bunga ros saja,” jelasnya menjernihkan keadaan yang agak kacau-bilau dalam media sosial khususnya Twitter baru-baru ini.

Tampil membersihkan dirinya daripada kontroversi tersebut yang turut membuatkan namanya sohor kini dalam Twitter, Rose memohon maaf dan tidak berniat untuk menutup periuk nasi mana-mana pihak.

“Saya terima semua pandangan dan kritikan dengan hati yang terbuka.

“Mana mungkin kami akan teruskan proses ini jikalau benar tuduhan yang ditujukan kepada jenama saya dan tidak berniat langsung untuk melukakan hati mana-mana pihak.

“Saya terima segala maklum balas, baik atau buruk. Kerana dengan cara itu sahaja saya dapat belajar dan berkembang,” jelasnya yang turut terkait isu penggunaan gambar sebuah jenama susu tanpa izin yang sudah diselesaikan secara baik.

TERPALIT isu plagiat jenama lokal, pengacara Master In The House Malaysia itu mengakui silap sendiri dan berharap jenama tudungnya, Sekuntum akan berkembang baik selepas ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI