PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2021 sebanyak tiga peratus.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, agihan dividen Simpan SSPN itu melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM206.25 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit akaun Simpan
SSPN.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.06 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan. Kadar dividen adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang telah diterima oleh PTPTN.
“Dividen yang diberikan masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. la mengambil kira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Wan Saiful berkata, Simpan SSPN menawarkan kadar pulangan dividen yang menarik berbanding kadar dasar semalaman ditetapkan Bank Negara Malaysia pada tahap 1.75 peratus dan keuntungan atau kadar faedah produk simpanan ditawarkan bank tempatan bagi tahun 2021 antara 1.50 sehingga 2.20 peratus.
Dalam pada itu, katanya, PTPTN melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar satu peratus.
Jelas beliau, ganjaran kesetiaan itu adalah hadiah istimewa dan tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.
Menurut beliau, ia akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum sebanyak RM500.
“Tempoh promosi bermula 22 Februari hingga 30 April 2022 dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2018.
“Ganjaran kesetiaan yang akan diberikan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan. Rebutlah peluang keemasan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE