fbpx

Polis siasat video tular alat halau monyet berbunyi seakan tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash Wahid (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang menunjukan prestasi cemerlang pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh hari ini.

IPOH – Polis akan menyiasat video tular di media sosial yang memaparkan dua lelaki mempromosikan alat menghalau monyet namun mengeluarkan bunyi seakan-akan tembakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut perkara itu berikutan belum lagi melihat jenis ‘senjata’ yang digunakan bagi tujuan tersebut.

“Saya belum lagi melihat alat itu tetapi saya yakin tiada bahan letupan yang digunakan.

“Jika ada (bahan letupan), tindakan boleh diambil di bawah Akta Senjata Api 1960.

“Apa pun, saya tidak boleh ulas lanjut kerana perlu tengok alat itu dahulu untuk lihat bagaimana ia berfungsi dan apa yang menyebabkan bunyinya kuat seakan-akan letupan. Mungkin itu adalah inovasi terbaharu untuk menghalau monyet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 194 orang warga Kontinjen Perak yang menunjukkan prestasi cemerlang diberikan surat penghargaan selain 12 pegawai dan anggota yang menolak rasuah.

Terdahulu, video berdurasi 1 minit 28 saat itu memaparkan seorang lelaki melakukan demonstrasi menggunakan alat bersaiz panjang yang dikatakan boleh menakutkan haiwan termasuk monyet.

Menerusi video sama, seorang lelaki lain menyatakan alat itu boleh diperolehi dengan harga RM90 atau datang membelinya di Kampung Padang Asam di Padang Rengas.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Mior Farid berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, tangkapan ke atas ketiga-tiga mereka termasuk seorang wanita akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kita telah menahan ramai (suspek) dan ada tiga lagi suspek yang telah dikenal pasti. Mereka akan ditangkap untuk dituduh di mahkamah dan saya yakin kes ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI